
Pendirian itu dibuat selepas akhbar Malay Mail Online melaporkan Pengerusi PSM Dr Nasir Hashim berkata parti sosialis itu akan bertanding atas tiket sendiri pada PRU14, bukan lagi bawah bendera parti lain seperti sebelum ini.
Nasir berkata penggunaan logo parti lain oleh PSM hanya membawa kepada “kemungkiran janji” mengenai susunan kerusi.
Beliau juga mengesahkan PH belum mendekati PSM untuk berunding mengenai kerusi pilihan raya, sambil menambah parti sosialis itu pernah “ditikam belakang” pada pilihan raya sebelum in dan biasanya didekati parti pembangkang lain pada “minit terakhir”.
Nasir berkata PSM akan bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini, dan ini ditentukan berdasarkan minimum 5 tahun kerja oleh calon parti di kawasan itu.
Semasa bercakap dengan FMT, pengerusi PSM itu bagaimanapun berkata masih belum terlambat untuk PH membuat keputusan mengadakan rundingan terbuka dengan mereka.
“Kita akan pertimbangkan jika ada perbincangan mengenai kerjasama pilihan raya,” katanya.
“Masalahnya, PH masih belum mendekati PSM mengani sebarang rundingan.
“Tiada komunikasi dengan parti pada mulanya dan kini kita sudah mendekati PRU14, masih tiada komunikasi.
“Tetapi kita bukannya merayu. Kita akan bertanding di mana sepatutnya, sama ada kalah atau menang, kita akan ketahui kekuatan dan kelemahan parti dan kita akan belajar daripadanya.”
Beliau berkata PSM sedar sumber mereka terhad berbanding parti komponen PH tetapi mengingatkan gabungan pembangkang itu untuk tidak memandang rendah partinya.
“Kami bukanlah hebat sangat, tetapi jangan layan kami dengan cara salah. Kami sudah lama dalam politik dan sudah banyak bekerja dengan orang ramai.
“Pilihan raya datang dan pergi. Jadi apa yang penting adalah mencari cara memperkasakan rakyat supaya mereka memilih pemimpin yang betul. Satu-satunya cara melakukannya adalah bersama dan bekerja dengan rakyat, dan itulah yang dilakukan PSM.”
Apabila disoal sama ada PSM akan pertimbangkan untuk bertanding bawah logo PH jika semua parti komponen melakukan perkara itu dan mengabaikan logo parti masing-masing, Nasir berkata keputusan itu perlukan perbincangan dalam kalangan ahli parti.
“Sekarang, tidak kelihatan seperti itu akan berlaku dan bercakap tentangnya hanyalah akan jadi spekulasi.
“Tetapi jika PH bangkitkan perkara itu dengan kita, kita akan pertimbangkannya selepas berbincang dengan ahli parti.”