Guru wajib pupuk perpaduan, kata Sultan Nazrin

Guru wajib pupuk perpaduan, kata Sultan Nazrin

Sultan Perak itu juga berkata guru terbilang dan berdedikasi berupaya menyalakan semangat belajar dalam kalangan pelajar demi memastikan anak didik lebih berjaya daripada mereka sendiri.

nazrin
TANJONG MALIM: Para guru berpengaruh kuat dalam memupuk semangat muhibah dalam kalangan pelajar berbilang agama, kaum dan budaya yang seterusnya akan memastikan kekuatan serta kestabilan negara, kata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda berkata maka guru wajib memberi keutamaan memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan berpuluh tahun lalu.

“Gagasan pendidikan yang cemerlang, didukung orang berbakat, gigih, dan tekun bekerja,” katanya pada pelancaran buku Yahya Ibrahim; Ikon Pendidikan Negara di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.

Buku setebal 153 muka surat mengenai Tan Sri Yahaya Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Yahaya dihasilkan oleh tiga warga UPSI, A. Halim Ali, Raja Ahmad Shalaby dan Ahmad Janatul Firdaus.

Sultan Nazrin Shah berkata, guru terbilang dan berdedikasi berupaya menyalakan semangat belajar dalam kalangan pelajar selain sanggup bekerja sepanjang masa demi memastikan anak didik mencapai kejayaan lebih gemilang daripada mereka sendiri.

Baginda juga menambah, guru yang menjadi sebutan pelajar adalah mereka yang berjaya memenangi hati pelajar.

Sultan Perak turut berkata falsafah dipegang dan peranan dilaksanakan guru lulusan Kirkby College pada era pra dan pascamerdeka hendaklah diteruskan oleh warga pendidik di bilik darjah dan di setiap sekolah di negara.

“Bonda beta Tuanku Permaisuri Bainun seorang lulusan Kirkby College. Baginda mengamalkan sikap terbuka, menerima dan menghormati teman sekerja, rakan kenalan, jiran tetangga serta ibu bapa dan murid yang berlatar belakang pelbagai agama dan kaum.

“Baginda menunjukkan contoh teladan baik kepada anak didik untuk mengenali dunia lebih luas yang membantu beta dan adinda tanpa berprasangka negatif, berupaya menjalin perhubungan persahabatan lebih lebar, merentasi sempadan agama, kaum, budaya, politik dan negara,” kata Sultan Nazrin.

Sambil menzahirkan penghargaan atas pelancaran buku itu, Sultan Nazrin berharap usaha berkenaan menjadi pendorong kepada UPSI mengusahakan siri penerbitan tokoh pendidikan dan perguruan sama ada tempatan atau antarabangsa.

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada 18 Februari 1929, Yahaya merupakan lepasan Kirkby College menceburi bidang pendidikan selama 30 tahun sejak 1954 dan walaupun sudah bersara beliau terus aktif sehingga hari ini terlibat dalam dunia pendidikan swasta serta pendidikan peringkat universiti.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.