
“Umat Islam perlu faham ada banyak aspek keputusan dibuat ulama dahulu yang kita boleh kaji semula hari ini kerana ini ialah pendapat mengenai cara terbaik menangani situasi tertentu,” Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad memberitahu FMT.
“Apa yang kita hadapi hari ini ialah pendapat dahulu yang dilihat sesetengah umat Islam sebagai hukum Tuhan dan anda tidak boleh kaji semula atau membincangkannya.
“Apa sahaja keputusan mereka buat ketika itu berdasarkan keadaan tertentu dan ini tidak menimbulkan masalah dalam masyarakat. Ternyata, tiada situasi ideal, tetapi anda pertimbangkan dan lihat pilihan mana yang kurang bermasalah.”
Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam, bagaimanapun enggan membantah atau bersetuju dengan amalan membinkan anak luar nikah dengan “Abdullah”.
Baru-baru ini, teks khutbah rasmi di beberapa masjid di Selangor mempertahankan amalan meletakkan nama “bin Abdullah” pada anak luar nikah, dengan berkata ia demi menjaga zuriat umat Islam.
Tetapi Khalid mempersoalkan hujah sesetengah pihak yang mengatakan dengan tidak mengenalpasti anak luar nikah dengan cara sebegitu, akan menggalakkan orang berzina.
“Sejauh mana tindakan tidak membenarkan anak-anak ini dibinkan nama bapa kandung mereka dapat menghalang orang daripada berzina?” soalnya.
“Jika ia bukan langkah pencegahan, maka alasan di sebalik amalan itu lemah dan bukan sahaja tidak mencapai objektif, anda akhirnya menjadikan kanak-kanak tidak bersalah sebagai mangsa.
“Ini sebabnya ia perlu dibincangkan dan kita harus mengenal pasti apa itu hukum Tuhan dan apa itu pendapat.”
Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang bayi Islam yang lahir dalam tempoh 6 bulan perkahwinan ibu bapanya, walaupun ibunya mahu menggunakan nama suaminya.
Penghakiman bertulis pada 25 Julai lalu itu turut mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah.
Hakim, Datuk Abdul Rahman Sebli dilaporkan berkata, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 tidak membezakan kanak-kanak Islam dan bukan Islam.
Bagaimanapun, pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan penangguhan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sementara menunggu permohonan Majlis Agama Islam Johor untuk mencelah dalam rayuan JPN terhadap keputusan mahkamah rendah yang memihak kepada pasangan dari Johor itu.
Khalid berkata, jika sebarang peraturan dibuat berdasarkan pendapat pakar undang-undang yang memikirkan masyarakat ketika itu, ia perlu diteliti semula untuk memastikan objektif sama dicapai.
“Apa yang dilakukan dahulu berdasarkan objektif untuk mencapai manfaat umum yang lebih baik buat masyarakat ketika itu.
“Cara terbaik menangani sesuatu situasi dahulu, tidak semestinya kaedah terbaik untuk mencapai objektif ketika ini.”
Semalam, akhbar South China Morning Post memetik aktivis yang mempersoalkan amalan membinkan anak luar nikah dengan “Abdullah:.
Aktivis hak kanak-kanak, Hartini Zainudin berkata pihak berkuasa menangani isu itu daripada sudut agama, sedangkan agama perlu melindungi semua orang, khasnya orang tidak berdosa.
“Apa salahnya membenarkan kanak-kanak itu menggunakan nama bapa kandung mereka?” soalnya.
Selain stigma yang perlu dilalui kanak-kanak itu, Hartini berkata, mereka juga berdepan masalah lebih besar seperti kurang akses ke sekolah kerajaan dan penjagaan kesihatan bersubsidi, di samping tidak mendapat akses perkhidmatan kesihatan awam, membuka akaun bank atau membeli harta.