
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sabah, Agustavia Joe Guasi berkata, M A Tajudin Mustapha, 44, ditemui kira-kira 11 pagi di Kilometer 6, Jalan Grabel oleh kakitangan JPS yang turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, kakitangan JPS membawa Tajudin ke Pusat Kawalan Operasi dan tiba pada jam 11.45 pagi.
“Tajudin kemudiannya dirawat pasukan perubatan yang berada di situ, manakala pasukan mencari dan menyelamat yang lain diarah balik ke pusat kawalan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pasukan SAR terdiri daripada 27 kakitangan JPS, 11 anggota Bomba dan 12 anggota Pasukan Gerakan Am.
Tajudin dilaporkan hilang selepas terpisah daripada kumpulan kakitangan jabatan itu ketika membuat kerja inventori di kawasan hutan tersebut.