Halangan bahasa punca salah faham, kata rakan Justinian Tan

Halangan bahasa punca salah faham, kata rakan Justinian Tan

Joshua De Rozario berkata, mungkin berlaku salah faham semasa di HSA kerana kakitangan 'bertutur dalam bahasa Melayu dan kami bercakap dalam bahasa Inggeris, dan kami berdepan kesukaran komunikasi'.

Joshua-de-Rozario_justinian-tan_600
SINGAPURA: Rakan Justinian Tan, warga Singapura yang meninggal dunia selepas cedera dalam kemalangan di Johor Bahru berkata, halangan bahasa mungkin menyebabkan berlakunya salah faham dengan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 25 Ogos lepas.

“Apabila kemalangan itu berlaku, banyak perkara berlaku serentak, jadi menunggu bantuan tiba terasa amat lama. Saya ingatkan ia mengambil masa 30 minit, tetapi catatan log mereka berbeza pula,” kata Joshua De Rozario, 25, merujuk kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam.

The Straits Times memetik De Rozario sebagai berkata, mungkin berlaku salah faham semasa di HSA kerana kakitangannya “bertutur dalam bahasa Melayu dan kami bercakap dalam bahasa Inggeris, dan kami mengalami kesukaran berkomunikasi”.

“Ramai daripada kami yang pergi ke JB (Johor Bahru) untuk makan malam atau membeli-belah, dan kita sebenarnya tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu berlaku di sana,” katanya dipetik laporan itu.

“Itulah yang kami mahu sampaikan. Ia bukan tentang membalas dendam kerana itu tidak akan mengembalikan Justinian. Kami mahu meneruskan kehidupan kami.”

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia menegaskan tiada kelewatan atau desakan pembayaran sebelum HSA merawat Tan.

Kenyataan itu susulan laporan sebuah portal berita Singapura mendakwa mangsa parah akibat kemalangan itu kerana masa respons ambulans HSA terlalu lama sehingga 30 minit.

Tan meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta Proton Saga, ketika beliau dan 5 rakannya yang baru selesai makan lewat malam, kira-kira 3 pagi di Johor Bahru, menuju ke kenderaan mereka.

Tan kemudian dipindahkan ke Hospital Besar Singapura dan meninggal dunia 5 hari kemudian, selepas alat bantuan pernafasan ditanggalkan.

Lelaki Singapura maut selepas hospital Johor minta bayaran sebelum dirawat

Kementerian nafi hospital di Johor tangguh rawat lelaki Singapura

Malaysia mahu Singapura ambil tindakan, portal berita mohon maaf

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.