
Tan Sri Dr Surin Pitsuwan berkata, keadaan mungkin tidak terkawal jika masalah itu tidak ditangani dengan teliti, memandangkan negara anggota Asean terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan agama.
“Pertama, cari jalan untuk mengatasinya sendiri dan ke-2, jika negara jiran berminat membantu, usaha itu perlu dialu-alukan,” katanya selepas menghadiri Persidangan Serantau mengenai Demokrasi di Asia Tenggara, hari ini.
Asean terdiri daripada 10 negara anggota, termasuk Malaysia, Indonesia, Myanmar, Singapura dan Thailand.
Surin berkata, komuniti Asean menganggap peningkatan sektarianisme dan komunisme sebagai isu biasa yang mencabar kumpulan itu, contohnya konflik di Rakhine.
Beliau berkata, usaha diplomatik dilakukan untuk menangani isu itu dan komuniti Asean lebih prihatin dengan apa yang berlaku di setiap negara anggota.
Keganasan sekali lagi tercetus di Rakhine, selepas serangan terancang militan Rohingya terhadap pasukan keselamatan Myanmar minggu lalu.
Menurut laporan AFP, lebih 100 orang, termasuk kira-kira 80 militan disahkan maut dalam konflik itu dengan sekurang-kurangnya 8,700 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Surin berkata, separuh daripada populasi di Asean ialah umat Islam dan itu ialah “hakikat yang perlu diberikan perhatian”.
Katanya, usaha perlu diambil agamawan atau pemimpin agama bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah dalam kalangan pelbagai agama dan kaum di Asean.
“Mereka perlu mengiktiraf masalah itu dan implikasinya.”