Lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh polis dalam balai

Lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh polis dalam balai

Ketua polis Selangor berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi ini, selepas dipanggil memberi keterangan malam tadi.

Mazlan-Mansor-suspek-tembak
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes seorang anggota polis ditembak mati dalam Balai Polis Pinggiran USJ di Subang Jaya, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi ini, selepas dipanggil memberi keterangan malam tadi.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, polis akan memohon perintah reman terhadap suspek itu yang berasal dari Sibu, Sarawak.

Lans Koperal Valentino anak Mesa, 29, ditemui mati dengan kesan tembakan dan tetakan senjata tajam, ketika bertugas bersendirian di kaunter pertanyaan balai polis di Subang Jaya itu, awal pagi semalam.

Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap oleh Unit Peronda Polis yang balik ke balai, selepas membuat rondaan kira-kira jam 3.25 pagi Khamis.

Pistol mangsa turut didapati hilang dari tempat kejadian, dipercayai dilarikan penjenayah.

Mazlan berkata, tangkapan itu adalah proses siasatan yang dijalankan mengikut undang-undang sedia ada.

“Pihak polis mengharapkan tiada sebarang spekulasi ke atas tangkapan ini kerana akan menjejaskan siasatan sepertimana yang telah tular sebelum ini.”

Menurut laporan China Press, seorang lelaki berusia 34 tahun yang merupakan abang sepupu mangsa ditahan 16 jam kemudian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, ketika dia cuba melarikan diri ke luar negara.

Difahamkan, lelaki terbabit yang biasa dengan jadual dan persekitaran kerja mangsa, berdendam dengannya kerana pertikaian keluarga.

Akhbar itu melaporkan suspek terbabit menyerbu balai berkenaan dan menetak adik sepupunya, sebelum mengambil pistolnya dan menembak mati mangsa.

Ini adalah kes pembunuhan polis ke-2 dalam tempoh 2 minggu.

Pada 18 Ogos lalu, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, mati ditembak di sebuah rumah di Taman Sri Hosba, Changlun, Kedah.

Dalam kejadian 10.25 malam itu, mangsa yang sedang berbual di perkarangan rumah terbabit, maut akibat terkena 4 daripada 6 tembakan dilepaskan suspek yang dipercayai sedang memanjat pagar.

Polis percaya mangsa yang sedang bercuti, pergi ke rumah rakannya untuk mendapat maklumat berkaitan penyeludupan dan kumpulan gengster di sempadan Bukit Kayu Hitam.

Anggota polis ditembak mati dalam balai

‘Kes polis dibunuh dalam balai disiasat jika ada unsur keganasan’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.