
Sin Chew Daily melaporkan suspek berusia 34 tahun itu yang berbaju lokap oren dibawa ke mahkamah di Petaling Jaya pada jam 10.59 pagi tadi dan keluar kira-kira 30 minit kemudian.
Sumber yang dipetik akhbar itu berkata, polis masih menyiasat motif pembunuhan, tetapi siasatan awal menolak kemungkinan kes itu ada kaitan dengan wang.
Menurut laporan itu, polis masih menyiasat pistol mangsa yang hilang dari tempat kejadian.
Lans Koperal Valentino anak Mesa, 29, ditemui mati dengan kesan tembakan dan tetakan senjata tajam, ketika bertugas bersendirian di kaunter pertanyaan balai polis di Subang Jaya itu, awal pagi semalam.
Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap oleh Unit Peronda Polis yang balik ke balai, selepas membuat rondaan kira-kira jam 3.25 pagi Khamis.
Hari ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dilaporkan berkata, suspek yang berasal dari Sibu, Sarawak itu ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi, selepas dipanggil memberi keterangan malam tadi.