Pemimpin belia PKR Sarawak pertahan Manikavasagam

Pemimpin belia PKR Sarawak pertahan Manikavasagam

Elia Bit, yang bekerja rapat dengan pemimpin PKR itu pada pilihan raya negeri lalu, sukar mempercayai dakwaan Manikavasagam memfitnah Anwar Ibrahim.

Elia-Bit-Manikavasagam2
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda PKR cawangan, yang pernah bekerja rapat dengan S Manikavasagam pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas, mempertahankan bekas wakil rakyat itu dari dakwaan memiftnah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda PKR Baram, Elia Bit, bekerja dengan bekas ahli Parlimen Kapar itu semasa menjadi calon DUN Marudi pada pilihan raya negeri lalu.

Elia memberitahu FMT beliau dan PKR Marudi terkejut dengan tindakan parti menggantung keahlian Manikavasagam selama 2 tahun.

Elia, yang menjadi “calon angkat” Manikavasagam semasa pilihan raya lepas menggambarkan beliiau sebagai seorang yang bersemangat dan komited kepada parti dan perjuangan parti.

“Beliau mengunjungi lebih 40 rumah panjang bersama saya di kawasan pedalaman Marudi, seperti Long Tisam, Long Teran, dan Senunuk, di mana kami terpaksa pergi menaiki bot tanpa bumbung selama 6 jam, semata-mata untuk mengibarkan bendera PKR dan menegakkan keadilan yang diperjuangkan parti.

“Kami tak pernah dengar beliau mencemuh parti dan kepimpinan. Sebaliknya, beliau berkongsi pengalamannya bersama Anwar semasa PRU 2008 yang membuka mata pengundi Marudi dan mengubah persepsi terhadap parti kami,” katanya.

Elia berkata Manikavasagam juga membuat keputusan sendiri untuk membantu Telang Usan dan Mulu, selepas mendapati rakan sejawatnya, William Leong dan R Sivarasa, dihalang masuk Sarawak.

Beliau juga bantu membekalkan bendera di 2 kawasan itu, katanya.

“Beliau juga melawat Mulu untuk membantu berkempen di Taman Negara Mulu dalam kalangan pengundi Tering, Berawan dan Penan demi memenangkan lebih banyak kerusi untuk PKR.

“Meskipun tewas, Marudi cipta sejarah kerana buat pertama kali PKR mendapat 4,106 undi (berbanding 1,568 undi pada 2011), kerana YB Mike bantu kami.

“Beliau pejuang tulen,” tambahnya.

Dalam kenyataan minggu lepas, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution memaklumkan hukuman itu kepada Manikavasagam, yang merupakan ahli majlis pimpinan pusat. Penggantungan berkuatkuasa 25 Ogos.

Keputusan itu berdasarkan laporan lembaga disiplin parti yang mendapati Manickavasagam memfitnah pemimpin parti dalam satu ucapan di Kapar, Selangor April lalu.

Manikavasagam menafikan pernah memfitnah Anwar dan berkata akan merayu keputusan parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.