RCI: Orang atasan cakap jangan campur tangan, kata bekas pegawai audit

RCI: Orang atasan cakap jangan campur tangan, kata bekas pegawai audit

P Kanason Pothinker berkata jawapan bertulis dijanjikan Pejabat Peguam Negara tidak pernah diterima.

bnm_forex_600
KUALA LUMPUR: Seorang bekas auditor kerajaan memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa wujud “pihak atasan” mengarahkannnya tidak campur tangan dalam sebarang urusniaga tersebut.

P. Kanason Pothinker, yang merupakan bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara berkata arahan itu dimaklum seorang wakil dari Pejabat Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid, ketika beliau meminta penjelasan mengenai Seksyen 31, Akta Bank Negara Malaysia 1958 berhubung urusniaga mata wang asing tersebut.

“Satu mesyuarat diadakan di pejabat dan Seksyen 31 termasuk syarat-syaratnya dibincangkan.

“Juruaudit yang mengendalikan bahagian Audit di Bank Negara membawa ke mesyuarat suatu salinan sehari urusniaga forex berjumlah lebih RM50 juga, jika seingat saya.

“Kami meminta nasihat perundangan sama ada urusniaga forex yang dibuat Bank Negara mengikut undang-undang atau sebaliknya,” kata beliau ketika memberi keterangan prosiding hari ketiga RCI di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Ainum pernah memegang jawatan Peguam Negara selama setahun pada 2001.

Jelas Kanason, semasa perbincangan, Ainum mengatakan urusniaga forex itu dibuat tidak mengikut proses dan tidak mengikut syarat yang diperuntukan bawah Akta Bank Negara 1958 dan berjanji jawapan bertulis akan diberikan dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada Ketua Audit Negara pada masa itu tetapi jawapan bertulis yang dijanjikan oleh Ainum tidak pernah diterima.

“Saya hubungi Tan Sri Ainum dan saya diberitahu oleh beliau dan seingat saya ‘orang atasan cakap jangan campur tangan’ dan saya dijanjikan maklum balas, dan menerima nasihat bertulis daripada Pejabat Peguam Negara mengatakan bahawa isu tersebut wajar diselesaikan antara ketua audit dan Gabenor Bank Negara,” katanya yang tidak memaklumkan penama individu atasan terebut.

Kanason berkata nasihat bertulis itu dihantar kepada ketua audit pada masa itu dan salinannya juga dihantar kepada gabenor.

Kanason berkata Jawatankuasa Audit diberi taklimat berhubung isu tersebut yang juga sudah dipersetujui oleh Bank Negara tetapi beliau dimarahi oleh pengerusi jawatankuasa, Tunku Ahmad Tunku Yahya, kerana membangkitkan urusniaga forex tersebut.

Kanason bersara pada 1992, dan pada 1993, beliau dimaklumkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ishak Tadin, bahawa Bank Negara mengalami kerugian wang yang besar akibat daripada urusniaga pertukaran wang asing tersebut.

Kanason berkata Ishak tidak memberitahu jumlah sebenar “kerana saya bukan pegawai atasannya”.

Prosiding hari ini merupakan sesi ketiga RCI bagi menyiasat kes kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.

Kerugian itu berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan menteri kewangan ketika itu.

Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.