
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM A Arutchelvan berkata kerjasama itu cuma taktik politik untuk mendorong pengundi India menyokong gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.
“Itu yang Najib cuba lakukan dulu pada PRU13. Sekarang, Najib ikut apa yang pernah Najib lakukan,” katanya di suatu majlis di Estet Bangi di sini.
Beliau berkata langkah itu mengimbau politik perkauman Barisan Nasional, yang menampilkan wakil India dan Cina.
“Apa yang mereka cuba lakukan ialah jadikan Hindraf wakil seperti MIC. Sama sahaja.
“Kami rasa sudah tiba masanya Malaysia tinggalkan politik kaum,” katanya.
Setiausaha Agung PSM Sivarajan Arumugam turut menyuarakan pandangan sama dan berkata langkah politik itu berdasarkan kepada kumpulan mana yang dirasakan PH mampu memberi undi yang banyak.
“Saya tidak rasa langkah itu berdasarkan apa-apa komitmen atau dasar jangka masa panjang.”
Bagaimanapun, beliau tidak pasti apa agenda Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy kali ini melalui kerjasama itu.
“Semasa Waythamoorthy bekerjasama dengan BN, kerjasama itu berdasarkan kepada suatu pelan tindakan India untuk BN laksanakan.
“Kami tidak tahu butiran perbincangan antara beliau dan PH.”
Sivarajan berkata kerjasama PH-Hindraf nampaknya lebih menjurus kepada berapa banyak undi yang boleh orang India berikan kepada PH.
Selepas pertemuan 1 jam dengan Waythamoorthy baru-baru ini, Dr Mahathir akui masyarakat India tidak diwakili dengan sebaiknya dalam PH, dan menambah sokongan gerakan itu penting untuk jentera gabungan itu berjalan dengan berkesan.
“Jadi kami mahu berusaha dapatkan Hindraf, kalau pun bukan sebagai komponen PH, sekurang-kurangnya ia menjadi sebahagian pembangkang,” katanya.
Waythamoorthy selepas pertemuan itu percaya gerakannya mahu menggembleng pengundi India menyokong PH pada pilihan raya nanti.
Beliau berkata peranan Hindraf kritikal dalam menyampaikan undi orang India kepada PH, dan menambah masyarakat itu akan menjadi penentu melawan BN pada PRU14 nanti di kerusi-kerusi dengan majoriti undi yang tipis.
“Kami tawarkan untuk membantu PH di kerusi-kerusi luar bandar ini, di mana masyarakat India boleh beri kesan yang besar,” katanya.
Waythamoorthy berkata sokongan Hindraf dalam kalangan orang India akan membantu PH sekiranya gabungan itu menerima Hindraf sebagai komponen, selepas PKR, DAP, Amanah dan PPBM.
Hindraf menjadi terkenal pada 2007 selepas puluhan ribu orang India turun menunjuk perasaan di Kuala Lumpur, menuduh kerajaan meminggirkan orang India Malaysia.
Hindraf bagaimanapun mengalihkan sokongan kepada BN sebelum pilihan raya 2013, selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan BN, yang berjanji akan mengangkat nasib masyarakat India.
Waythamoorthy kemudian mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal melaksanakan komitmen bertulis untuk membantu masyarakat India.
“Ternyata beliau tidak memenuhi janjinya dan atas dasar prinsip, saya mengundurkan diri,” katanya.