Insentif RM5,000: ANAK bimbang arahan serah geran akan jerat peneroka

Insentif RM5,000: ANAK bimbang arahan serah geran akan jerat peneroka

Mazlan Aliman menuntut penjelasan Felda kerana ramai peneroka dan waris atau pentadbir ladang keliru serta ragu-ragu dengan arahan memberi salinan geran rumah dan ladang sebagai syarat mohon RM5,000.

Mazlan-Aliman-logo-anak-peneroka-felda
PETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini mempertikaikan tujuan Felda mengarahkan peneroka memberi salinan geran rumah dan ladang mereka sebagai syarat kelayakan memohon insentif khas RM5,000 yang diumumkan perdana menteri bulan lalu.

Presidennya, Mazlan Aliman dalam kenyataan semalam menuntut penjelasan daripada Felda kerana ramai peneroka dan waris atau pentadbir ladang keliru serta ragu-ragu dengan arahan itu.

Ini kerana, katanya, dokuman sama sudah diserahkan kepada Felda ketika peneroka memohon pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 sebelum pilihan raya umum ke-13 lalu (PRU13).

“Jika rekod dan maklumat peneroka telah sedia ada sama ada di ibu pejabat Felda mahupun Felda di peringkat tanah rancangan (seperti diminta sebelum ini), apa perlunya diberi lagi?

“Di saat Felda bermasalah, pemberian dokumen dan salinan hak milik tanpa alasan kukuh, tentu sekali menimbulkan kebimbangan. Ia boleh terdedah kepada manipulasi, yang akhirnya menjerat peneroka,” katanya.

Pada 8 Mei 2012, Najib mengumumkan pemberian durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka Felda di seluruh negara yang akan dibuat secara tunai menerusi 2 fasa.

Pada 23 Julai lalu pula, Najib mengumumkan 6 insentif untuk peneroka, termasuk bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.

“Dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta, pembayaran akan mula dibuat pada penghujung Ogos ini,” katanya pada sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya, bulan lalu.

Mazlan mendakwa pemberian insentif khas RM5,000 itu datang daripada wang peneroka sendiri seperti juga durian runtuh RM15,000 kepada 112,635 peneroka yang berpunca daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) di Bursa Malaysia.

Beliau menggalakkan peneroka Felda mengambil insentif khas itu kerana ia adalah hak mereka, tetapi mengingatkan mereka jangan sesekali menjadikan ia faktor mengikat diri ketika mengundi pada PRU14 kerana kerajaan baru yang dipilih rakyat perlu membawa agenda perubahan bagi mengembalikan Felda ke landasan betul.

Najib umum 6 insentif, lupus hutang peneroka beli saham FGV

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.