
Beliau yang dipetik Sin Chew Daily berkata, walaupun mempunyai “presiden dungu”, AS tidak akan runtuh dengan mudah kerana ia mempunyai sistem ekonomi dan teknologi yang kuat.
Lim tiba-tiba menyebut nama Trump ketika bercakap mengenai kepentingan pendidikan dalam sebuah majlis penyampaian bantuan pendidikan tinggi kepada 576 pelajar di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.
Setiausaha agung DAP itu berkata, pendidikan ialah asas pembinaan negara dan nasib negara hanya akan berubah melalui pengukuhan pendidikan secara berterusan.
Katanya, ia juga adalah sebab kerajaan Pulau Pinang berusaha menyalurkan sumber bagi membangunkan pendidikan sains dan teknologi.
Semalam, White House dalam kenyataan yang dipetik The Wall Street Journal (WSJ) memaklumkan Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan Trump di White House pada 12 September ini.
Akhbar WSJ melaporkan perdana menteri mahu menjalin persahabatan dengan Trump, ketika Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berusaha merampas harta dan aset mewah yang didakwa dibeli dengan dana diseleweng daripada syarikat milik kerajaan Malaysia, 1MDB yang ditubuhkan Najib.
WSJ memetik sumber yang rapat dengan Najib sebagai berkata, lawatannya ke White House adalah sebahagian usaha supaya penyiasatan lebih lanjut tidak dilakukan pihak berkuasa AS.
White House berkata, Trump berharap dapat “berbincang kaedah memperkukuhkan dan memperluaskan hubungan dua hala kami dan meluaskan kerjasama serantau bersama salah satu rakan kongsi AS yang paling rapat di Asia Tenggara”.
Hubungan AS-Malaysia merosot sedikit tahub lalu selepas DoJ memfailkan saman mengenai skandal 1MDB, menyebabkan Najib memperkukuhkan hubungan dengan China.