
Beliau berkata meskipun kerajaan mempunyai kuasa mewujudkan RCI, namun mereka patut lihat jika terdapat bukti baharu atau perkara masih tidak dirungkai sehingga kini dalam peristiwa itu.
“Apa baiknya mengadakan singkapan lama? Kita harus berpendapat jika semuanya hendak diRCIkan, maka kerajaan tiada kerja lain selain merungkai perkara lama dan menyembahkannya kembali.
“Semasa peristiwa Memali berlaku, huraian telah dibuat dan saya juga menjadi jurucakap Memali semasa itu selaku Menteri Penerangan. Penerangan yang diberi juga sudah dijawab oleh bapa Ibrahim Libya (Mahmud Senapi). Jadi tidak perlu RCI,” katanya.
Rais berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sudut Pidato Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang hari ini yang turut dihadiri rektor universiti itu Prof Datuk Seri Dr Zalea Kamarudin.
Selain itu, Rais berpandangan segala persoalan berkaitan tragedi itu sudah dihurai dan dijawab dengan baik dalam laporan Kertas Putih Memali yang dibentangkan kerajaan di Parlimen.
“Jika ada tujuan lain (untuk adakan RCI) pada tahun 1985 masih tidak terungkai, harus disenaraikan apakah isu hendak dihuraikan. Apa kandungan Kertas Putih yang masih tidak dipuashatikan lagi?
“Isu ini harus diselidik untuk melihat jika perlu diadakan RCI. Memang kerajaan ada kuasa untuk (adakan) RCI bila-bila masa, tetapi kesahihan dan matlamat asasnya bagaimana?” soalnya.
Tragedi Memali berlaku pada 19 November 1985 menyaksikan 18 orang termasuk 4 polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya di Kampung Memali, Baling, Kedah.