
Berucap di forum tentang pelaburan China di Malaysia hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata projke mega China di negara ini harus dibahas dan diteliti Parlimen bersama dengan pakar dan pihak berkepentingan.
“Kita bukan anti-China, sebenarnya kita pro-pelaburan,” kata naib presiden PKR itu di forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara malam ini.
Namun Nurul berkata kerajaan tidak harus memberikan cek kosong kepada mana-mana negara, termasuk China, yang merupakan antara negara rakan dagang terbesar Malaysia, yang melabur di negara ini.
“Kita bercakap mengenai banyak projek dan perjanjian, tetapi payah untuk kita dapatkan satu senarai. Biasanya sebagai ahli Parlimen kita boleh dapatkan pelbagai dokumen dan bincangkan isu berbangkit,” katanya, dan menambah akses itu tidak diperoleh sekiranya pelaburan itu hanya perlukan persetujuan Kabinet.
Akibatnya, maklumat mengenai projek yang kurang diketahui seperti pelabuhan di Bagan Datuk tidak dapat diperolehi ahli Parlimen.
Beliau berkata kebimbangan terbesarnya ialah kekurangan maklumat mengenai perjanjian yang ditandatangani antara Selat PD Sdn Bhd dan CCC Dredging (Group) Co Ltd dan perjanjian antara Royal Bird’s Nest, Walet Company-International Private Limited Company dan Universiti Peking.
“Kita mengalu-alukan pelaburan tetapi untuk memastikan projek-projek itu berjaya, kita perlukan maklumat terkini projek-projek itu.”
Nurul menambah beliau akan terus mendesak perbincangan mengenai pelaburan China di Parlimen bagi memastikan apa sahaja perjanjian yang melibatkan Malaysia akan menjaga kepentingan negara.
Sejak kebelakangan ini, syarikat dan perniagaan milik kerajaan milik China datang ke Malaysia dengan pelaburan berbilion ringgit dalam projek prasarana dan hartanah mega seperti Bandar Malaysia (RM43 bilion), Forest City (RM442 bilion) dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (RM55 bilion).
Sementara itu, pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata MAlaysia harus mengalu-alukan semua pelaburan langsung asing yang adil, menguntungkan dalam jangka masa panjang dan diteliti.
“Apa yang kita perlu kita bimbangkan, dan diperiksa dengan teliti, ialah antara lain isu tadbir urus, mekanisme bagaimana perjanjian dicapai, dan terma dan perjanjian setiap urusjanji.”
Awal hari ini, pakar ekonomi terkemuka Prof Jomo Kwame Sundaram menggesa Putrajaya berwaspada apabila menerima pelaburan dari China bagi melindungi kepentingan negara dan rakyat.