
Enam anggota SPRM yang tiba kira-kira 10 pagi tadi, meninggalkan kampus universiti itu di Seksyen 7, Shah Alam, sekitar 4.35 petang.
Terdahulu, pasukan SPRM itu dipercayai mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor Unisel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman lebih 2 jam.
Selain Shah Alam, SPRM turut menyerbu kampus Unisel di Bestari Jaya, Kuala Selangor; pejabat Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14, Shah Alam dan pejabat Jana Niaga.
Pada 25 Julai lalu, MBI Selangor mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mendakwanya terbabit dalam rasuah berhubung pembayaran kepada Jana Niaga.
MBI Selangor yang dipetik Malaysiakini menafikan membayar RM60 juta kepada Jana Niaga dan mahkamah tidak pernah memutuskan syarikat itu mahupun Unisel berlaku salah.
MBI Selangor berkata, dakwaan membuat pembayaran kepada Jana Niaga, walaupun kontraktor itu mengingkari perjanjian dan gagal dalam tuntutan tunggakan bayaran, tidak benar.
Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor kemudiannya mempersoalkan MBI Selangor bila dan siapa yang akan terbabit dalam proses timbang tara dengan Jana Niaga.
Ia selepas MBI Selangor menyatakan proses timbang tara untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran kepada syarikat itu akan dilakukan.
Rizal berkata, Unisel tidak bersetuju dengan termadicadangkan MBI dan bayaran pendahuluan RM10 juta kepada Jana Niaga, merujuk dakwaan sebuah blog.