PH gesa Kedah jangan abai undang-undang syariah halalkan poligami

PH gesa Kedah jangan abai undang-undang syariah halalkan poligami

Ketua Wanita PKR berkata, ada proses yang perlu dipatuhi lelaki Islam untuk berpoligami.

pakatan-harapan-women-kedah-1
PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa kerajaan Kedah mempertimbangkan semula program membenarkan lelaki Islam berkahwin lagi di luar negara.

Zuraida yang bercakap bagi pihak Pakatan Harapan (PH) mengingatkan kerajaan negeri itu ada proses yang perlu dipatuhi mengikut undang-undang syariah di negara ini.

Beliau berkata, satu daripada peruntukan syariah memerlukan hakim menentukan sama ada lelaki Islam boleh memberi sokongan kewangan dan menjaga kedua-dua isteri serta anak mereka.

“Wanita Pakatan Harapan menolak program ini. Ada langkah lain yang boleh diambil tanpa menggugat hak wanita.

“Dalam isu ini, walaupun kebenaran isteri pertama bukan satu kemestian, namun persetujuannya adalah satu prasyarat yang penting untuk menjamin kerukunan institusi kekeluargaan.

“Kebenaran ini adalah penting bagi memastikan hak isteri pertama dan anak-anak seperti nafkah dan kebajikan terjamin serta terjaga,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR hari ini.

Menurut laporan The Star Online, kerajaan negeri akan memperkenalkan sebuah program mulai bulan depan bagi memastikan lelaki Islam yang berkahwin di Thailand atau negara lain, mendaftarkan perkahwinan kedua mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri akan menyelaraskan undang-undang syariah untuk memaklumkan isteri pertama jika suami mereka berkahwin lagi di luar negara, tetapi persetujuan mereka tidak diperlukan untuk perkahwinan kedua itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri berusaha mengurangkan denda bagi kegagalan mendaftarkan perkahwinan antara RM300 hingga RM400, berbanding RM3,000 ketika ini,

Ahli Parlimen Kota Raja daripada Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program itu tidak adil kepada isteri pertama kerana mereka tidak dibenarkan memberi pandangan atau hakim dibenar memutuskan jika suami itu mampu menjaga kedua-dua isteri.

Beliau berkata, Rawi perlu menjelaskan jika program itu terpakai kepada mereka yang berkahwin sebelum 2017 atau sesiapa sahaja.

Mariah berkata, suami Islam perlu tahu ia bukan “hak” mereka untuk berkahwin dengan wanita lain lagi kerana ada peraturan dan undang-undang syariah yang perlu dipatuhi.

“Kami bimbang proses ini akan terlepas pandang dan apa yang akan berlaku kepada kedua-dua isteri itu, jika dia tidak dapat menjaga mereka,” katanya.

Rawi berkata, objektif Kedah bertujuan melindungi masa depan isteri dan anak mereka.

katanya, penekanan akan diberikan kepada pasangan suami isteri yang mempunyai anak, tetapi belum mendaftarkan perkahwinan mereka.

“Kami mahu mereka mempunyai sijil perkahwinan sah supaya anak-anak mereka tidak menjadi mangsa dan dinafikan kewarganegaraan,” katanya.

Pada sidang media hari ini, Wanita Pakatan Harapan turut mengumumkan pelantikan untuk beberapa jawatan.

Jannie Lasimbang dilantik sebagai ketua Wanita Sabah dan Voon Shaik Nee mengetuai sayap itu di Sarawak, manakala Sivamalar Ganapathy daripada PKR menerajui Biro Undang-undang Wanita dan Kasthuri Patto daripada DAP mengetuai Biro Komunikasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.