‘Hutang budi’ jadi faktor penduduk Langkawi sokong Dr M

‘Hutang budi’ jadi faktor penduduk Langkawi sokong Dr M

Sokongan penduduk Langkawi terhadap Dr Mahathir boleh menimbulkan ancaman besar kepada Umno jika parti itu tidak meningkatkan usaha memenangi hati penduduk.

mahathir-mohamad-langkawi-burung-lang
LANGKAWI: Walaupun bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad beralih arah daripada Umno kepada pakatan pembangkang, namun sumbangannya ke atas pembangunan Langkawi meninggalkan “hutang budi” kepada pengundi di sana untuk memilihnya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Semasa FMT membuat wawancara, terdapat pelbagai reaksi daripada warga Langkawi, selain mengakui mereka terhutang budi kepada Dr Mahathir dan sumbangannya di pulau itu. Namun, mereka mendakwa kebanyakan penduduk Langkawi adalah penyokong kuat Umno.

Jurutera marin tempatan, Hamieazuar Hamizan.
Jurutera marin tempatan, Hamieazuar Hamizan.

“Umno tetap kuat di Langkawi. Anak jati Langkawi adalah penyokong kuat Umno,” kata jurutera marin tempatan, Hamieazuar Hamizan.

Namun, beliau tidak menafikan penduduk Langkawi juga menyokong Dr Mahathir dan boleh menimbulkan ancaman besar kepada Umno sekiranya parti itu tidak meningkatkan usaha memenangi hati penduduk pulau tersebut.

“Sekiranya Dr Mahathir ingin bertanding di Langkawi, kemungkinan undi kepadanya tinggi kerana kesan yang ditinggalkan kepada rakyat,” kata Hamieazuar sambil menambah ramai rakyat Langkawi masih merasa terhutang budi kepada sumbangan Dr Mahathir.

Beliau menambah tidak ada calon yang lebih baik untuk Langkawi berbanding pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu. “Daripada letak anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, lebih baik Dr Mahathir sendiri.

Kenyataan Hamieazuar turut disokong pemandu teksi berusia 46 tahun yang hanya dikenali sebagai Ahmad.

Beliau berkata walaupun Umno mempunyai kubu kuat di pulau itu, orang Langkawi masih mencari Dr Mahathir kerana mereka nampak bekas perdana menteri itu akan membawa perubahan baharu dalam arena politik.

“Ramai penduduk Langkawi terhutang budi dengan Dr Mahathir. Dialah yang meletakkan pulau ini dalam peta Malaysia,” kata Ahmad.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan penduduk Langkawi akan mengundi Umno kerana sumbangan dan penyertaan aktif ahli parlimen Nawawi Ahmad dan ADUN Kuah, Nor Saidi Nanyan.

Ahli Persatuan Pelancongan Langkawi, Fuziah Mohamed.
Ahli Persatuan Pelancongan Langkawi, Fuziah Mohamed.

Ahli Persatuan Pelancongan Langkawi, Fuziah Mohamed yang juga penyokong kuat Dr Mahathir berkata penduduk Langkawi akan terus menyokong pengerusi PPBM itu meskipun berubah parti.

“Tidak kira parti mana pun Dr Mahathir berada, orang Langkawi yang betul-betul sayangkannya masih tetap menyokongnya.

“Kepercayaan tersebut lebih penting daripada kepercayaan terhadap partinya,” kata Fuziah.

Beliau mendakwa usaha yang dilakukan oleh Dr Mahathir sekarang adalah kesinambungan legasi hebatnya dahulu.

Pemilik restoran, Jamaluddin Hashim.
Pemilik restoran, Jamaluddin Hashim.

Pemilik restoran, Jamaluddin Hashim yang juga bekas pekerja Malaysia Airline mengakui Dr Mahathir mempunyai sokongan kuat daripada penduduk Langkawi.

“Sekarang boleh nampak kehadiran PH dan PPBM semakin kuat di Langkawi.

“Malah ada juga bekas ahli BN beralih dari biru ke merah (BN kepada PPBM),” katanya.

Walaupun begitu, Jamaluddin berkata jentera Umno di Langkawi masih lagi terkuat di Langkawi seperti Wanita dan Puteri yang aktif melibatkan diri dengan masyarakat.

“Ia akan menjadi perlawanan sengit semasa PRU kerana terdapat pelbagai sokongan daripada penduduk Langkawi,” katanya.

Semasa era pentadbiran Dr Mahathir, pulau itu berkembang dengan pembangunan seperti lapangan terbang antarabangsa dan menjadi tuan rumah pelbagai program antarabangsa termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Beliau juga meletakkan tumpuan khusus pada pembangunan Langkawi dan mengisytiharkan pulau itu sebagai pelabuhan bebas cukai untuk menggalakkan aktiviti perdagangan dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) untuk membawa pembangunan di pulau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.