Bekas penolong gabenor: Anwar arah sembunyi kerugian forex elak dipecat

Bekas penolong gabenor: Anwar arah sembunyi kerugian forex elak dipecat

Abdul Murad Khalid berkata, Datuk Awang Adek Hussin, Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz dan isteri gabenor BNM, Puan Sri Rohila adalah saksi ketika beliau memaklumkan kerugian AS$170 juta yang ditanggung bank pusat itu kepada Jaffar Hussein.

Datuk-Abdul-Murad-Khalid
PUTRAJAYA:
Bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid berkata, beliau pernah memaklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerugian AS$170 juta yang dialami bank pusat itu akibat perdagangan mata wang asing (forex) pada awal 1990.

Beliau berkata, penerangan itu dibuat dalam rombongan bersama menteri kewangan itu ke Hawaii, namun beliau diarah tidak mendedahkan perkara berkenaan bagi mengelakkan Anwar hilang jawatannya.

“Pada awal 1994, saya diarahkan Gabenor BNM, Tan Sri Jaffar Hussein untuk beri penjelasan kepada menteri kewangan. Menteri kewangan meminta saya turut serta dalam penerbangan beliau ke Hawaii untuk beri penjelasan mengenai kerugian forex.

“Saya beri penerangan kepada menteri kewangan, beliau menyatakan faham akan masalah kerugian berkenaan dan akan berbincang dengan gabenor BNM berhubung perkara itu.

“Selepas penerangan tersebut, menteri kewangan juga memberi komen sekiranya kerugian sebenar urus niaga forex yang dijalankan BNM didedahkan kepada umum, beliau sebagai menteri kewangan perlu meletak jawatan,” katanya pada hari pertama pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam kamar mahkamah di Istana Kehakiman hari ini.

Ketua umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan, merupakan menteri kewangan dari 1991 hingga 1998, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad pula menerajui negara mulai 1981 hingga 2003.

Murad berkata, Jaffar memarahinya dan tidak percaya selepas dimaklumkan dengan kerugian AS$170 juta yang ditanggung BNM.

“Saksi yang turut hadir semasa saya memberitahu perkara ini kepada Jaffar adalah Datuk Awang Adek Hussin dan Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz serta Puan Sri Rohila, iaitu isteri Jaffar,” katanya.

Awang Adek dilantik sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkuat kuasa 1 September ini.

Selain Tan Sri Mohd Sidek Hassan, RCI itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon.

Turut terlibat ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail yang juga setiausaha RCI itu.

Ditanya apa tindakan susulan menteri kewangan selepas dimaklumkan perkara itu, Murad berkata, tiada siasatan mahupun laporan dibuat berhubung kerugian berkenaan.

Sidek terkejut dan hairan bagaimana kerugian besar itu tidak diambil tindakan mahupun dicatatkan dalam laporan BNM.

“Anda pergi ke Hawaii untuk menjelaskan kerugian itu, tetapi tiada siasatan dan tindakan susulan, disebabkan itu benda ini tidak boleh disorok di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya.

RCI itu ditubuhkan bulan lalu bagi menyiasat kerugian AS$10 bilion ditanggung BNM dalam urus niaga perdagangan mata wang sekitar 1990-an.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.