PKR kecewa dengan respon SPRM mengenai seragam lokap

PKR kecewa dengan respon SPRM mengenai seragam lokap

N Surendran berkata ketua pesuruhjaya SPRM sepatutnya mengarahkan tatacara operasi standard disemak semula daripada menguji kes di mahkamah.

n-surendran-7
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli Parlimen PKR hari ini membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempertahankan amalan menampilkan suspek ke mahkamah berpakaian seragam lokap.

Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran kecewa dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad yang mencadangkan amalan itu dicabar di mahkamah.

“Beliau tidak perlu tunggu seseorang uji kes itu di mahkamah. Dzulkifli sepatutnya segera arahkan tatacara operasi standard (SOP) disemak semula, supaya amalan SPRM mematuhi undang-undang.

“Beliau juga patut dedahkan SOP SPRM tentang perkara ini,” kata Surendran kepada FMT hari ini.

Surendran diminta mengulas kenyataan Dzulkifli yang berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan amalan itu boleh membawa itu ke mahkamah.

Dzulkifli juga berulang kali meminta pemberita menunjukkan pendirian undang-undang tentang amalan itu.

Surendran berkata polis mempunyai SOP yang melarang suspek ditampilkan di mahkamah untuk pendengaran reman dalam pakaian lokap, namun beliau berkata polis pernah melanggar SOP itu.

“Pokoknya SOP polis itu suatu perakuan bahawa membawa suspek ke mahkamah dalam seragam lokap adalah salah. Maka sudah tentu SOP SPRM dan polis tidak boleh berbeza sama sekali dalam hal ini,” tambahnya.

Awal hari ini Surendran mempertikaikan tindakan SPRM dan polis memaksa suspek memakai seragam lokap, selepas 2 tahanan SPRM berprofil tinggi ditampilkan ke mahkamah untuk pendengaran reman minggu ini berpakaian seragam lokap SPRM.

Dua tahanan itu ialah bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh.

Surendran berkata undang-undang membenarkan tahanan menolak memakai seragam lokap, memetik Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Penjara 2000.

“Dipaksa memakai seragam jingga terang dan diarak di premis mahkamah memalukan tahanan dan mewujudkan persepsi yang beliau seorang pesalah atau penjenayah, walaupun mahkamah belum menentukan,” katanya.

Surendran berkata Peraturan 168 dalam Peraturan Penjara 2000 mewajibkan pihak berkuasa penjara membenarkan banduan yang belum disabit kesalahan untuk memakai pakaian peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.