
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk beberapa kenyataan saksi kejadian itu yang mendakwa Kertas Putih yang dikemukakan kerajaan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sebagai “pembohongan”.
Beliau turut mempersoalkan sama ada mereka yang pernah mengikuti tragedi itu secara dekat kini menerima hujah Dr Mahathir mempertahankan tindakan pihak berkuasa menyerang Kampung Memali.
“Atau kebenaran tidak lagi penting pada sesetengah mereka kerana mereka kini memerlukan Dr Mahathir untuk pilihanraya umum ke 14?” soalnya.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa Memali berlaku pada November 1985. Dalam kejadian itu, pertempuran tercetus apabila penduduk kampung mempertahankan Ibrahim Mahmud, seorang guru agama yang tidak disenangi pihak berkuasa ketika itu.
Antara tuduhan kerajaan ketika itu ialah Ibrahim, yang kerap tampil dalam program agama anjuran kerajaan ketika itu, menyebarkan ajaran sesat, dakwaan yang ditolak pengikutnya. Cubaan menangkap Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga gagal.
Kepungan pasukan bersenjata ke atas rumah Ibrahim dan beratus-ratus penyokongnya berakhir dengan kematian 14 penduduk termasuk Ibrahim, di samping 4 anggota polis yang terbunuh.
Ahad lalu, sejurus sebelum serangan suar di forum “Nothing to Hide” anjuran Pemuda PPBM, Dr Mahathir baru selesai menjawab soalan berkenaan insiden Memali.
Semalam, Dr Mahathir mempertahankan tindakan kerajaan pada masa itu, dengan mendakwa polis terpaksa bertindak kerana penduduk kampung menyerang.
“Kalau awak datang dengan parang dan bunuh pegawai polis, maka mereka mestilah sanggup terima balasan daripada polis,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata apa yang berlaku di Memali adalah suatu tindakan “zalim” yang perlu diakui kerajaan.
Menurutnya, sebuah RCI akan memberikan keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama-nama mereka yang tidak bersalah.
“Sewajarnya, pada pandangan PAS, kerajaan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa Memali,” tambahnya.
Beliau turut merujuk kenyataan bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam, yang 3 tahun lalu mendedahkan Dr Mahathir masih berada dalam negara ketika insiden Memali tercetus.
Musa kerap disifatkan sebagai orang bertanggungjawab merancang serangan ke atas Memali. Media ketika itu melaporkan Dr Mahathir berada di China.