
Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, badan sains kebangsaan Australia – Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) mengemukakan analisis menyeluruh mengenai corak hayutan MH370 dalam laut berdasarkan maklumat serta imej satelit.
“Kami memerlukan panduan untuk mengetahui bagaimana ia boleh digunakan untuk membantu kami mengenal pasti lokasi spesifik pesawat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, CSIRO hari ini dilaporkan berkata, ia percaya pesawat MH370 terhempas ke laut, di timur laut kawasan pencarian di dasar laut yang tidak berhasil selama 2 tahun.
Kenyataan itu berdasarkan imej satelit yang diambil 2 minggu selepas pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014, bersama 239 penumpang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Imej satelit yang disediakan perkhidmatan risikan tentera Perancis dan agensi angkasa kebangsaan Perancis menunjukkan 70 serpihan dengan sedozen daripada bahan itu “mungkin” dihasilkan manusia.
“Kami fikir ada kemungkinan boleh mengenal pasti kedudukan pesawat itu berada, dengan ketepatan dan kepastian yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata CSIRO.