
NILAI: Rumah bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad di sini diserbu sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan serbuan itu ketika dihubungi.
Difahamkan, 3 kenderaan SPRM tiba di kediaman tersebut kira-kira 4.30 petang tadi dan pulang kira-kira 2 jam kemudian.
Semalam, Isa ditahan SPRM selepas hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian 2 hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Berikutan itu, SPRM melakukan serbuan ke atas rumah Isa di Selangor pada hari sama.