PH perlu adakan lebih banyak forum kalahkan ‘penyangak’, kata Zaid

PH perlu adakan lebih banyak forum kalahkan ‘penyangak’, kata Zaid

Zaid Ibrahim menyeru pemimpin Pakatan Harapan bersikap berani dan telus seperti Dr Mahathir.

Zaid-Mahathir
PETALING JAYA:
Datuk Zaid Ibrahim berkata Pakatan Harapan patut menganjurkan lebih banyak forum seperti “Nothing to Hide” sebagai memberikan mesej kepada “penyangak” yang pembangkang tidak gentar dengan huru hara yang dicetuskan seperti di program anjuran PPBM Ahad lalu.

Bekas menteri itu berkata, menganjur lebih banyak forum cara terbaik mengalahkan “penyangak yang menyembunyikan segalanya”.

“Kita tidak perlu rasa takut,” tulis bekas menteri itu dalam blognya.

Menurutnya, pemimpin PH harus sertai perhimpunan “Nothing to Hide”.

“Mereka harus contohi Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak takut menjawab pelbagai soalan sukar,” katanya, dan menggesa pemimpin PH bersikap terbuka dan telus.

“Rakyat Malaysia akan gembira jika mereka adakan gaya kepimpinan alternatif.”

Zaid turut menceritakan pengalamannya di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam ketika serangan dilakukan ke atas pentas.

“Apabila suar dibaling dari belakang dewan dan botol terbang menuju Mahathir, saya fikir orang akan mencederakannya (Dr Mahathir).

“Terlintas di fikiran saya mereka mungkin membakar dewan itu. Saya bergegas ke pintu sisi tetapi dikunci dari luar. Seseorang menyepak pintu itu seperti nak gila tapi masih tidak dapat dibuka,” tulis Zaid.

Zaid turut melahirkan rasa pelik dengan respon awal polis.

“Reaksi awal polis adalah mengatakan mereka perlu bercakap dengan penganjur atas apa yang disebut oleh pegawai sebagai ‘pelanggaran keselamatan’. Ini benar-benar memeranjatkan.

“Apa pun dilakukan atau tidak dilakukan oleh penganjur, perkara pertama polis patut lakukan ialah mengejar penyangak tersebut.

“Itulah yang patut mereka katakan. Tetapi kita hidup dalam budaya penyangak,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.