
Pengarah JAS negeri, Rusnani Abdullah yang dipetik Berita Harian Online berkata, pihaknya mengambil tindakan berdasarkan Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana menyebabkan pencemaran.
“JAS negeri bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melawat kilang terbabit pagi tadi.
“Kami meneliti setiap dapur pembakaran habuk kayu untuk memastikan bara sudah terpadam sepenuhnya, sebelum menyita premis berkenaan,” katanya.
Jumaat lalu, Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri selepas pejabatnya di Komtar dikunjungi 5 pegawai SPRM pada pagi hari sama.
Phee kemudiannya direman 5 hari mulai Sabtu lalu, bagi membantu siasatan SPRM berhubung sebuah kilang penapis karbon haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti.
Turut direman ialah 2 beranak iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik kilang berkenaan serta anaknya berusia 37 tahun.
Dalam serbuan bersama SPRM pada Rabu lalu, JAS mendapati kilang memproses habuk kayu yang dipercayai beroperasi secara haram sejak 15 tahun lalu, tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara.
Kewujudan kilang haram itu dikatakan turut memberi kesan buruk dengan menjejaskan kesihatan penduduk setempat sehingga ada yang menghidap penyakit serius.