
Menteri Besar Perak berkata, perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku terutama di dalam negara yang hidup dalam suasana kepelbagaian dan berharap perkara seumpama tidak berlaku di Perak.
“Ini seolah-olah kita nak menggambarkan bahawa Islam keras dan tidak bertoleransi langsung sedangkan Islam adalah agama sifatnya kesejahteraan kepada semua.
“Kita tidak mahu perkara ini berlaku di Perak dan saya tidak suka ada pihak yang cuba memisahkan kehidupan kita iaitu kehidupan bernegara,” kata beliau dipetik Bernama.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Elemen @Seri Manjung di Kampung Datuk Seri Kamarudin, Lumut hari ini.
Semalam, FMT melaporkan Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Hulu Langat, Selangor meletakkan label ‘Murid Islam’ dan ‘Murid Bukan Islam’ pada setiap cawan yang diletakkan bersebelahan mesin pembahagi air di sebuah blok bangunan di sekolah itu untuk kegunaan murid-murid.
Laporan itu turut memetik kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan perkara tersebut berunsurkan perkauman selain mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.
Hari ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan tindakan pengurusan sekolah tersebut sebagai bertentangan dengan peraturan dan pekeliling kementeriannya.
Sehubungan itu menurut beliau, pengurusan sekolah harus berperanan sebagai agen pemurnian dalam mewujudkan perpaduan dan menjaga sensitiviti kepelbagaian kaum.
“Semua jenis peraturan dan pekeliling urusan sekolah telah tertakluk pada pekeliling kementerian sedia ada, jadi pentadbir sekolah tidak boleh buat sesuatu perkara lebih dari apa yang telah ditetapkan.
“Mereka (pentadbir sekolah) tidak boleh buat peraturan sendiri sebaliknya perlu merujuk dengan pihak kementerian dahulu jika hendak melakukan sesuatu,” kata beliau.
Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Ganesan Seerangam berkata dalam 1 pertemuan, pengetua sekolah itu, Nora Yahya ada mengakui yang pihaknya mengambil pendekatan itu demi menjaga kepentingan pelajar beragama Islam.
“Guru besar itu berpendapat sesetengah pelajar membawa makanan tidak halal dan langkah itu adalah untuk menjaga kebersihan membabitkan pelajar Islam,” kata Ganesan kepada FMT.
Berikutan kecaman ibu bapa dan kumpulan masyarakat sivil, sekolah terbabit hari ini mengeluarkan label pada cawan yang ditempatkan di sebelah dispenser air minuman di salah sebuah blok sekolah.
Nora mengambil alih sebagai pengetua Julai lalu daripada Roslinda Kamis. Bagaimanapun Roslinda sebelum ini menafikan laporan bahawa beliau yang memulakan dasar itu.
Sekolah dikecam kerana asingkan cawan orang Islam, bukan Islam
MIC kecewa pengetua sekolah pertahan dasar pengasingan cawan