MIC kecewa pengetua sekolah pertahan dasar pengasingan cawan

MIC kecewa pengetua sekolah pertahan dasar pengasingan cawan

Ketua Biro Pendidikan MIC meninggalkan pertemuan selepas pengetua sekolah rendah terbabit, Nora Yahya mempertahankan dasar itu atas alasan perlu demi menjaga kepentingan pelajar-pelajar beragama Islam.

Ganesan-Seerangam-cup-miic
PETALING JAYA: Seorang pemimpin MIC meninggalkan sesi pertemuan selepas pengetua sekolah rendah, yang menjadi fokus kontroversi kerana mengamalkan pengasingan cawan, mempertahankan dasar itu atas alasan perlu demi menjaga kepentingan pelajar beragama Islam.

Ganesan Seerangam, yang mengetuai biro pendidikan MIC berkata, Nora Yahya, guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Hulu Langat, Selangor memberitahu beliau keputusan itu adalah demi menjaga kebersihan membabitkan pelajar-pelajar Islam.

“Guru besar itu berpendapat sesetengah pelajar membawa makanan tidak halal dan langkah itu adalah untuk menjaga kebersihan membabitkan pelajar Islam,” kata Ganesan kepada FMT.

Berikutan kecaman ibu bapa dan kumpulan masyarakat sivil, sekolah terbabit hari ini mengeluarkan label pada cawan yang ditempatkan di sebelah dispenser air minuman di salah sebuah blok sekolah.

Ganesan berkata Nora bukan sahaja gagal menghentikan amalan itu tetapi turut menyokong arahan yang dibuat oleh pengetua wanita terdahulu.

Nora mengambil alih sebagai pengetua Julai lalu daripada Roslinda Kamis.

Bagaimanapun Roslinda sebelum ini menafikan laporan bahawa beliau yang memulakan dasar itu.

“Murid biasanya hanya minum air dispenser. Sepanjang masa saya, tiada label seperti itu,” kata beliau kepada FMT hari ini.

Sehubungan itu, Ganesan menggesa kementerian pendidikan agar menyiasat siapa yang bertanggungjawab dalam memulakan amalan yang mencetuskan kemarahan di kalangan ibu bapa dan kumpulan masyarakat sivil itu.

Sebelum ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengecam amalan itu dengan menyifatkan sebagai tindakan “perkauman”.

Katanya, amalan itu tidak ada asas keagamaan walaupun Islam menganggap beberapa jenis makanan sebagai haram.

“Walaupun seseorang menggunakan daging babi, itu tidak bermakna bibirnya haram,” katanya.

“Kita boleh menggunakan cawan yang digunakan oleh bukan Islam. Kita boleh menggunakan peralatan memasak yang digunakan oleh bukan Islam.”

Sekolah dikecam kerana asingkan cawan orang Islam, bukan Islam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.