
“32 juta rakyat malaysia ingin mendapat kepastian siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong?” kata bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam kenyataan kepada FMT.
Khairuddin berkata pendedahan rakaman itu melalui YouTube adalah lebih meyakinkan daripada sumpah laknat seperti yang dicadangkan Zahid.
Zahid Sabtu lepas dilaporkan berkata beliau sedia “sumpah laknat di masjid mana-mana pun” bagi menafikan dakwaan Dr Mahathir pertemuannya untuk merancang menumbangkan Najib.
“Tetapi orang itu juga mesti sanggup bersumpah juga,“ kata Zahid dipetik Utusan Malaysia.
Pertemuan itu diadakan beberapa hari selepas pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri pada 2015, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat ekoran kritikannya dalam isu membabitkan 1MDB dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib.
Pertemuan itu pertama kali didedahkan Dr Mahathir selepas siri serangan Zahid terhadapnya, termasuk membangkitkan isu keturunan dengan mendakwa bekas nama penuh bekas perdana menteri itu seperti tertera pada kad pengenalan lama ialah “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.
Susulan pengakuan Zahid menyimpan rakaman, Khairuddin berharap alasan ia adalah bersifat peribadi tidak akan digunakan bagi mengelak rakaman itu disiarkan.
“Tolong jangan umumkan pula bahawa pita rakaman perjumpaan peribadi di antara Zahid dan Dr Mahathir tidak boleh disiarkan kerana diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Ini pita rakaman peribadi yang tiada kena mengena dengan rahsia sulit kerajaan Malaysia,” kata Khairuddin.