PAS sambut baik penarikan balik pindaan akta perkahwinan

PAS sambut baik penarikan balik pindaan akta perkahwinan

PAS berpandangan akta yang dibawa ke Parlimen mesti diambil kira faktor hukum syarak dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya tidak timbul polemik selepas dibentang.

Tuan-Ibrahim-Tuan-Man-akta-perkahwinan
AMPANG: PAS hari ini menyambut baik langkah kerajaan menarik balik pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164.

Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata akta itu perlu ditarik kerana dasarnya bercanggah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Saya fikir apa-apa akta nak bawa ke Parlimen mesti diambil kira faktor hukum syarak dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya tidak timbul polemik selepas dibentang.

“Penangguhan ini kami sambut baik,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri sidang meja bulat mendengar penerangan dari Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung hutang 1MDB dan pelan rasionalisasi dana milik kerajaan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan penarikan balik akta itu ketika Dewan Rakyat mula bersidang pagi tadi.

Pindaan itu bertujuan menyelesaikan masalah status agama dan rebutan anak bawah umur dalam kes penceraian melibatkan bukan Islam dan pasangannya yang masuk Islam.

Antara pindaan yang dicadangkan ialah mengekalkan agama anak walaupun salah seorang ibu bapa masuk Islam, melainkan ia mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Ia juga memberi kuasa kepada mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata akta itu perlu dikaji balik bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan fatwa dan Perlembagaan Persekutuan, selepas ia dikritik beberapa pihak termasuk PAS dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mendakwa akta itu bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak.

Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Aziz berkata pindaan itu jelas mahu merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata akta tersebut perlu “dikaji semula secara mendalam” oleh sebuah jawatankuasa untuk mencari “penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.