
“Tak perlu takut dana kita dapat dari mana sebab pasti bukan Umno,” kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, katanya selepas ditanya mengenai sumber dana PAS.
“Kita isytihar (kempen kumpul dana) dalam program kita dan wajibkan semua ahli PAS beri sumbangan RM5.00 seorang. Hampir setiap program kita lancarkan dana tersebut.”
Media melaporkan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown semalam mempersoalkan bagaimana PAS mampu membayar kos guaman saman fitnah di United Kingdom yang sangat mahal. Menurut Clare, saman itu boleh menekan kos sehingga RM600,000.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi London berkaitan dengan artikel yang ditulis Clare pada Ogos 2016.
Dilaporkan Sarawak Report mengeluarkan artikel yang mendakwa “difahamkan” RM90 juta masuk ke akaun pimpinan tertinggi PAS untuk memikat mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional.
Tuan Ibrahim berkata kos guaman Hadi dibiayai perasaan cinta dan tanggungjawab para ahli parti kepada PAS.
“Selain itu mereka menyumbang kerana marah pada fitnah yang dibuat ke atas PAS,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas sesi meja bulat mendengar penerangan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai hutang 1MDB dan pelan rasionalisasi dana milik kerajaan itu di Hotel De Palma, Ampang.
Di sidang media yang sama, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Aziz pula mempersoalkan sumber dana Sarawak Report dalam kes disaman Hadi itu.
“Kita nak tanya mereka dapat dana daripada mana?” katanya.