
Zahid berkata, beliau tidak gentar dengan cabaran berhubung isu tersebut ekoran pendedahannya kerana mempunyai bukti iaitu rakaman daripada pertemuannya dengan pemimpin yang merancang konspirasi itu.
“Saya ada rakaman dan gambar tentang pertemuan dengan orang itu. Saya simpan rakaman itu dan ia dinaratif.
“Saya sedia sahut cabaran dan sanggup sumpah laknat di masjid mana-mana pun bahawa yang merancang cuba jatuhkan perdana menteri adalah orang itu bukan saya,” kata naib presiden Umno ini.
“Tetapi orang itu juga mesti sanggup bersumpah juga,“ kata beliau dipetik Utusan Online.
Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Baling di Kompleks Rakan Muda, Baling, Kedah hari ini.
Akhbar melaporkan Ahmad Zahid mengakui mempunyai rakaman yang membuktikan dirinya tidak terlibat dalam sebarang konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti didakwa pembangkang.
Beliau berkata, pertemuannya dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada 2015 juga diadakan atas keizinan perdana menteri.
Selain itu beliau berkata, beliau juga sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan rasuah ke atasnya oleh pembangkang.