Ketua hakim negara pertahan keputusan dilanjut jawatan

Ketua hakim negara pertahan keputusan dilanjut jawatan

Raus berkata walaupun langkah itu tidak pernah disaksikan sebelum ini tetapi kesemua tindakan diambil mengikut proses undang-undang di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Raus-Sharif2
PUTRAJAYA: Tan Sri Md Raus Sharif hari ini mempertahankan pelantikan semula beliau sebagai ketua hakim negara sambil mempersoalkan mengapa beliau harus menolak keputusan tersebut.

Beliau berkata walaupun langkah itu tidak pernah disaksikan sebelum ini tetapi kesemua tindakan diambil mengikut proses undang-undang yang wajar di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah tentu ada pandangan yang bertentangan mengenai perkara ini. Seperti yang saya katakan, peguam sentiasa tidak bersetuju,” katanya.

“Jadi tidak ada yang aneh jika peguam tidak bersetuju dengan tafsiran perlembagaan. Ia berlaku setiap hari di mahkamah,” kata beliau pada sidang media di Istana Keadilan di sini.

Raus merujuk kepada kontroversi berhubung keputusan kerajaan melanjutkan tempoh khidmat beliau sebagai ketua hakim negara manakala Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula sebagai presiden Mahkamah Rayuan bulan lalu. Mereka juga dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan setelah mencapai usia mandatori persaraan 66 tahun.

Khamis lalu, Majlis Peguam mengumumkan pihaknya akan memfailkan saman bagi mencabar pelantikan mereka sebagai hakim tambahan dan kekal dalam jawatan mereka.

Ia mendakwa tiada hakim Mahkamah Persekutuan boleh kekal dalam jawatan pentadbirannya selepas mencapai umur 66 tahun dan enam bulan.

Md Raus mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara selama 3 tahun berkuat kuasa semalam, malam tadi. Raus dan Zulkefli mengangkat sumpah di Istana Negara pada 10 malam semalam.

Pada 1 April lepas, Raus dilantik sebagai ketua hakim negara ke-14 bagi menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara pada usia 66 tahun dan 6 bulan pada 31 Mac lepas. Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun.

Sebelum ini, Raus sebagai presiden Mahkamah Rayuan dilanjutkan perkhidmatannya selama 6 bulan dari 4 Februari ke 3 Ogos. Pada tempoh sama, beliau dilantik sebagai ketua hakim negara yang baharu pada 1 April.

Pada 7 Julai lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, Raus menyandang jawatan ketua hakim negara bagi tempoh 3 tahun bermula 4 Ogos selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Raus berkata, beliau menghormati pandangan Majlis Peguam tetapi menambah, ia harus menghormati keputusan mahkamah mengenai perkara itu kerana terdapat 2 pandangan apakah pelantikan mereka berperlembagaan atau sebaliknya.

“Jadi mereka boleh memfailkan kes mereka di mahkamah dan membiarkan mahkamah memutuskan siapa yang betul dan yang salah,” katanya.

Menurut Raus, majlis angkat sumpah diadakan lewat malam semalam disebabkan jadual Yang di-Pertuan Agong, dan tidak ada sebarang niat jahat.

Raus juga berkata, beliau tidak kisah sekiranya Majlis Peguam enggan menjemput Zulkelfi dan beliau ke mana-mana majlis sosial anjuran mereka.

Malah katanya, tidak banyak acara yang dianjurkan oleh Majlis Peguam.

Raus menambah, beliau akan terus mengundang Majlis Peguam ke majlis-majlis jabatannya dan terpulang kepada mereka untuk hadir atau sebaliknya.

Raus angkat sumpah ketua hakim 3 tahun lagi

Upacara angkat sumpah Raus berlangsung malam ini

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.