Tiada upacara angkat sumpah bagi Raus, kata ketua pendaftar

Tiada upacara angkat sumpah bagi Raus, kata ketua pendaftar

Biasanya, hakim tambahan Mahkamah Persekutuan akan mengangkat sumpah di depan ketua hakim atau hakim paling kanan berikutnya, jika ketua hakim tidak hadir.

raus2
PUTRAJAYA: Tidak ada upacara angkat sumpah bagi Ketua Hakim Negara, Tan Sri Raus Sharif yang dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memaklumkan “tiada majlis di Istana Kehakiman hari ini”.

Bagaimanapun, beliau menjemput media menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk kakitangan mahkamah yang akan dirasmikan Raus di sini, esok.

Biasanya, hakim tambahan Mahkamah Persekutuan akan mengangkat sumpah di depan ketua hakim atau hakim paling kanan berikutnya, jika ketua hakim tidak hadir, seperti diperuntukkan di bawah Perkara 124 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong juga perlu menyerahkan watikah pelantikan sebelum Raus mengangkat sumpah.

Wartawan ternampak Raus berjalan dengan sekumpulan individu, termasuk bekas ketua setiausaha kerajaan, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said di Istana Kehakiman sekitar tengah hari tadi.

Latifah turut berada dalam kumpulan itu.

Bagaimanapun, tidak diketahui tujuan Sidek berada di sana. Beliau dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kerugian ditanggung Bank Negara akibat dagangan mata wang asing (forex) pada 1990-an.

Kamaludin ialah ahli panel itu. Turut kelihatan ialah peguam kerajaan, Muhammad Saifuddin Hashim dan Suhaimi Ibrahim.

 

raus

Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese berkata, beliau tidak dimaklumkan untuk menghadiri upacara pelantikan Raus sebagai hakim tambahan atau lanjutan khidmatnya sebagai ketua hakim negara.

Majlis Peguam memutuskan untuk memfailkan saman mencabar pelantikan Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan supaya mereka boleh kekal dengan jawatan mereka.

Varughese berkata, tindakan undang-undang bersejarah itu akan dilakukan “dalam masa terdekat”.

Majoriti peguam yang menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam semalam mengundi pelantikan Raus dan Zulkefli tidak mengikut Perlembagaan.

Varughese berkata, Majlis Peguam juga berpendirian hakim Mahkamah Persekutuan tidak sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu kerana mempunyai konflik kepentingan.

“Oleh itu, kami menyeru Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop menasihatkan Agong di bawah Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik individu yang memegang jawatan tinggi kehakiman sebagai hakim tambahan untuk mendengar dan menentukan cabaran undang-undang itu,” katanya dalam sidang media semalam.

Varughese berkata, Ahmad boleh menguatkuasakan Perkara 131A, dibaca bersama Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim paling kanan menjalankan kuasa ketua hakim negara semasa ketidakupayaan atau ketiadaannya.

Beliau berkata, EGM itu juga memutuskan Majlis Peguam tidak akan menjemput Raus dan Zulkefli menghadiri acara sosialnya.

Empat minggu lalu, kerajaan melantik Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.

Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada Mei lalu, melantik semula Raus dan Zulkefli untuk kekal di jawatan sekarang.

Tempoh perkhidmatan Raus dilanjutkan 3 tahun lagi mulai hari ini, sementara Zulkefli akan kekal untuk 2 tahun lagi mulai 28 September ini.

Raus bersara semalam, manakala Zulkefli bersara pada 27 September selepas mencapai umur persaraan wajib.

Kebanyakan peguam dan hakim bersara berpendapat hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh mengekalkan jawatannya selepas mencapai usia 66 tahun dan 6 bulan.

Rabu lalu, Pakatan Harapan menyerahkan memorandum kepada Agong memohon campur tangan baginda bagi menghalang pelantikan semula Raus dan Zulkefli, yang didakwa mereka tidak berperlembagaan.

 

Badan Peguam akan cabar pelantikan Raus, Zulkefli

Ketua hakim enggan tarik diri dengar permohonan bersejarah Majlis Peguam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.