
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Datuk Dr Mah Hang Soon berkata JPV Perak juga mengambil 8 sampel daripada 48 anjing liar yang terpaksa dilupuskan di kawasan wabak itu untuk dianalisis di makmal Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh semalam.
“Hasil ujian 5 daripada 8 sampel yang diambil daripada anjing-anjing di Kuala Sepetang didapati negatif rabies hari ini.
“Hasil 3 lagi sampel yang dihantar malam tadi akan diketahui Jumaat ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Menangani Wabak Rabies Perak di Majlis Daerah Tanjung Malim hari ini.
Dr Mah berkata semua pemilik anjing di kawasan mukim Matang dalam daerah Larut, Matang dan Selama, yang diwarta sebagai kawasan penyakit anjing gila, tidak dibenarkan membawa keluar haiwan peliharaan itu dari kawasan berkenaan.
“Tidak ada anjing yang boleh keluar atau masuk dalam kawasan wabak yang diwartakan di bawah Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila berkuat kuasa 17 Julai.
“Bagi mana-mana individu yang hendak bawa keluar atau masuk (dalam kawasan wabak), mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak,” katanya.
Dr Mah berkata untuk mengekang penyakit anjing gila daripada merebak ke kawasan lain, pihak polis diminta mengadakan sekatan pemeriksaan jalan raya.
Individu yang melanggar perintah pewartaan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang, katanya.
Pada 12 Julai lepas, seekor anjing mati akibat rabies iaitu 8 hari selepas menggigit 2 kanak-kanak perempuan berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang.