DAP: Alasan JPPM arah pemilihan semula tak berasas

DAP: Alasan JPPM arah pemilihan semula tak berasas

Lim Guan Eng berkata, DAP tidak takut mengadakan pemilihan semula kerana penggal CEC yang dipilih pada 2013 akan tamat dan mereka dalam proses mengadakan kongres untuk pemilihan CEC.

dap
KUALA LUMPUR:
DAP bertegas tidak mahu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) seperti diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), sebaliknya menuntut penjelasan daripada jabatan itu kerana mendakwa alasan diberikan mereka tidak berasas.

“Kami terkejut dengan keputusan JPPM ‘menasihatkan’ kami mengadakan pemilihan semula anggota CEC pada 2013 berdasarkan alasan palsu dan tidak berasas,” kata Lim Guan Eng selepas mesyuarat CEC DAP selama 3 jam di ibu pejabat parti itu hari ini.

Setiausaha agung DAP berkata, parti itu tidak takut mengadakan pemilihan semula kerana penggal CEC yang dipilih pada 2013 akan tamat dan mereka dalam proses mengadakan kongres untuk memilih CEC baharu.

“Tidak masuk akal JPPM kini mahu DAP mengadakan pemilihan semula berdasarkan senarai perwakilan 2012 berbanding senarai 2017.”

Beliau berkata, dakwaan JPPM ada perwakilan layak menghadiri pemilihan semula CEC pada 2013, tetapi dinafikan hak mengundi juga tidak betul.

“Jumlah perwakilan yang layak ke pemilihan semula CEC DAP pada 2013 dan pemilihan CEC pada 2012 adalah sama. Ini disahkan pengaudit bebas yang menjalankan dan menyaksikan sendiri pemilihan semula pada 2013.

“JPPM juga kata wujud percanggahan antara jumlah perwakilan layak kerana ada 865 cawangan yang layak dilaporkan pada pemilihan CEC 2012, tetapi 985 cawangan dilaporkan pada 2013. Ini menunjukkan tambahan 120 cawangan untuk pemilihan semula 2013.”

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, memang terdapat 985 cawangan dalam DAP pada 2013, tetapi hanya 751 cawangan dengan 2,576 perwakilan yang layak mengundi pada pemilihan semula tahun sama.

Beliau berkata, parti itu tidak pernah menyatakan 865 cawangan layak untuk pemilihan CEC pada 2012, sebaliknya angka itu julung kali timbul dalam laporan palsu bertajuk “Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC” oleh “Father Augustus Chen” rekaan.

Katanya, Lim Kit Siang memenangi saman fitnah terhadap Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan “Father Augustus Chen” itu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintah ganti rugi RM250,000 dibayar kepada penasihat DAP itu pada 10 Disember 2014.

Isnin lalu, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo memaklumkan parti itu sudah menerima makluman rasmi daripada JPPM berhubung arahan mengadakan pemilihan semula CEC.

Ia selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat pada Ahad lalu berkata, DAP tidak boleh mengadakan pemilihan semula menerusi arahan lisan, selagi JPPM tidak mengeluarkan surat rasmi kepada parti itu.

Pada 7 Julai lalu, Ketua Pengarah JPPM, Datuk Mohammad Razin Abdullah meminta DAP mengadakan pemilihan semula CEC ekoran pelantikan ahli CEC dan pemegang jawatan utama DAP pada 29 September 2013 dianggap tidak sah dari segi undang-undang.

“Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC bertarikh 15 Disember 2012, iaitu melibatkan 2,576 perwakilan daripada 865 cawangan.

“Justeru, JPMM mengambil pendirian DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC baru yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC diiktiraf,” kata Razin.

Dua hari kemudian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, DAP berdepan risiko tidak dapat menyertai pilihan raya umum ke-14 jika parti itu gagal mematuhi arahan JPPM.

Beliau kesal DAP mempunyai kecenderungan mengabaikan arahan JPPM yang merujuk kepada perlembagaan parti itu dan Akta Pertubuhan 1996, bagaimanapun JPPM tidak akan membatalkan pendaftaran parti itu, walau apapun yang berlaku.

Pada 8 Julai lalu, Guan Eng dilaporkan berkata, parti itu tidak akan mengadakan pemilihan semula, tetapi mahu bertemu JPPM.

Katanya, parti itu sudah mengadakan pemilihan semula pada 2013 seperti diarahkan JPPM dan memaklumkan keputusan itu yang melibatkan 2,576 perwakilan layak.

“Oleh itu, persoalan mengenai pemilihan baharu tidak timbul,” kata Guan Eng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.