
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pemangku Pengerusi FGV Tan Sri Sulaiman Mahbob yang bercadang mengambil 7,000 hingga 8,000 pekerja asing untuk mengisi kekurangan pekerja di ladang kelapa sawit milik mereka, sekaligus menahan kemerosotan pendapatan FGV.
“Sebagai pemegang saham dalam FGV, Felda menyokong dan bersama-sama untuk menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta keuntungan FGV. Kalau ada apa yang kita boleh bantu, memang kita akan bantu,” katanya kepada pemberita di majlis Salam Perantauan Warga Felda di Putrajaya, hari ini.
Sejak April lalu, penanam kelapa sawit dilaporkan berdepan kekurangan tenaga kerja yang teruk, apabila pekerja asing yang biasanya datang dari Indonesia untuk meraih buah sawit di sini mengelak kerana ringgit yang lemah dan peningkatan peluang di negara sendiri.
Dianggarkan kira-kira 70% tenaga kerja industri itu daripada Indonesia, yang tertarik dengan gaji yang tinggi dan kesamaan budaya di sini. Kekurangan pekerja di pengeluar sawit ke-2 di dunia itu akan melewatkan tuaian dan mengekang output kerana kadar pengekstrakan berkurangan apabila buah sawit lambat dipetik.
Menurut laporan Reuters itu, meskipun keadaan itu akan menjejaskan industri eksport komoditi utama negara tetapi ia berpotensi mengukuhkan harga yang jatuh hampir 15% tahun ini.
Shahrir berkata pengambilan pekerja asing itu secara umumnya akan memberi kebaikan langsung kepada industri sawit sekarang ini.
“Di peringkat ladang, ia memang sektor penting kerana eksport komoditi negara sangat besar dan ia beri kesan kepada pekebun kecil, peladang dan syarikat ladang,” katanya.
Ops imigresen, Felda rugi RM2 juta sehari akibat kurang pekerja