
Penghapusan elaun itu diumumkan Kementerian Pendidikan dalam kenyataan 15 Julai lalu, mulai ambilan Jun 2018.
Bekas menteri pendidikan menyifatkan langkah itu sebagai “satu lagi berita buruk” dalam siri pemotongan perbelanjaan untuk bidang pendidikan.
“Jika pelajar PISMP gagal mendapat pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan mereka terpaksa menarik diri daripada mengikuti program PISMP kerana tidak mempunyai kemampuan kewangan, apakah yang akan terjadi kepada unjuran latihan perguruan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan?” soal Muhyiddin.
Beliau mengingatkan PTPTN menghadapi kekangan dari segi keupayaan menyediakan pinjaman, maka meminta pelajar PISMP memohon pinjaman itu bukan jalan penyelesaian.
“Adakah satu hari nanti akan berlaku kekurangan guru untuk mata pelajaran tertentu dan guru lain terpaksa memikul beban berlebihan akibat kekurangan ini yang akhirnya akan menjejaskan kualiti pendidikan negara?” kata Muhyiddin dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan PISMP ialah program untuk melatih bakal guru, di mana beliau sendiri terlibat secara langsung dalam penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memberi penekanan kepada melahirkan guru berkualiti.
“Untuk tujuan itu, PISMP menawarkan pelbagai insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk menyertai program ini termasuk meneruskan pembayaran elaun sara hidup bulanan untuk setiap pelajar,” kata Muhyiddin.
Beliau menyeru kerajaan supaya mengkaji keputusan menghapuskan elaun tersebut dan kembali memberi keutamaan kepada bidang pendidikan kerana ia melibatkan pelaburan jangka panjang negara.
“Sebelum ini, belanjawan universiti-universiti awam tempatan juga dipotong kerana kekangan kewangan kerajaan yang semakin meruncing menyebabkan kontrak para professor yang berpengalaman tidak disambung.
“Belanjawan untuk bidang pendidikan tidak seharusnya dipotong sewenang-wenangnya kerana ini akan menjejaskan pembangunan modal insan negara,” katanya.