
Waris mangsa MH17 menghadiri upacara itu yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya.
Mereka dilihat tiba di hotel berkenaan secara berperingkat sejak 10 pagi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menghadiri upacara itu. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAB), Peter Bellew dan Pengerusi MAB, Tan Sri Md Nor Md Yusof.
Taklimat berhubung proses pendakwaan yang akan dijalankan di Belanda turut diadakan sempena upacara itu. Liow dilapor mempengerusikan taklimat berkenaan.
Difahamkan, terdapat permohonan supaya upacara peringatan itu diadakan secara tertutup, bagaimanapun ramai wakil media yang hadir membuat liputan.
Pesawat Boeing B777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu membawa 298 penumpang dan kru, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Malaysia dan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) terdiri daripada Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bersetuju pendakwaan terhadap pihak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu dilakukan di Belanda.
Liow baru-baru ini berkata, proses siasatan dihadkan kepada 100 suspek dan siasatan penuh dijangka siap menjelang awal tahun depan, sebelum proses pendakwaan bermula.