Ghannouchi puji Malaysia, tawar kerjasama selesai krisis Qatar

Ghannouchi puji Malaysia, tawar kerjasama selesai krisis Qatar

Di saat banyak negara mengeratkan hubungan dengan negara lain, lain pula dengan Timur Tengah, kata pemimpin Tunisia itu.

Rached Ghannouchi (2 dari kiri) bercakap kepada media, dengan terjemahan ke bahasa Melayu oleh Datuk Nasharudin Mat Isa.
Rached Ghannouchi (2 dari kiri) bercakap kepada media, dengan terjemahan ke bahasa Melayu oleh Datuk Nasharudin Mat Isa.
KUALA LUMPUR:
Pemimpin Parti Ennahda Tunisia Rached Ghannouchi mencadangkan kerjasama antara Malaysia dan negaranya bagi meredakan konflik membabitkan Qatar dan 4 negara Arab yang masih berlarutan.

Beliau berkata, Malaysia dan Tunisia selaku negara yang mengamalkan demokrasi dan bersifat sederhana mempunyai asas yang kukuh untuk melaksanakan usaha itu.

“Ketika dunia hari ini berusaha untuk bersatu antara satu sama lain, malangnya di kalangan negara Islam ia tidak berlaku,” katanya.

“Tetapi saya yakin Malaysia dan Tunisia boleh berganding bahu untuk mencadangkan penyelesaian kepada perbezaan pandangan di kalangan negara di tanah Arab,” katanya kepada wartawan selepas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global, Datuk Nasharudin Mat Isa, yang menterjemahkan kenyataan Ghannouchi untuk pihak media.

Semalam, Perdana Menteri Najib Razak menyatakan sokongan Malaysia terhadap Kuwait untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan krisis melibatkan Qatar dan beberapa negara Arab.

Empat negara Arab dipimpin Arab Saudi baru-baru ini tidak senang dengan hubungan baik sokongan Doha dengan Iran, di samping sokongannya kepada Ikhwan Muslimin, gerakan politik yang untuk seketika menguasai kerajaan Mesir susulan kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Parti Ennahda pimpinan Ghannouchi juga mempunyai hubungan ideologi rapat dengan Ikhwan.

Ghannouchi memuji keprihatinan Malaysia terhadap umat Islam di Palestin, Myanmar, selatan Thailand dan selatan Filipina.

Beliau berkata lawatan Najib ke Gaza pada 2013 cukup bermakna.

“Sukar melihat pemimpin yang masih berkuasa melawat Gaza yang penuh konflik, melainkan pemimpin dan negara (yang dipimpinnya) sudah memiliki sikap yang jelas terhadap isu yang berlaku,” katanya.

Di KL, Ghannouchi gesa umat Islam renung realiti semasa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.