NGO desak Zuraida jawab isu hutang RM233,833

NGO desak Zuraida jawab isu hutang RM233,833

Presiden Inspirasi Melayu Gombak mempersoalkan peranan Zuraida Kamaruddin dan jika beliau dibayar komisen untuk mewakili sebuah syarikat berunding bayaran hutang RM233,833 dengan Yayasan Selangor.

zuraida-ngo
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan bekas adun Kajang, Lee Chin Cheh tampil menjelaskan dakwaan hutang berkaitan Yayasan Selangor.

Presiden Inspirasi Melayu Gombak (Impak), Datuk Zul Azhari Mohamed Juah berkata, kedua-dua pemimpin PKR itu dikatakan menjadi perantara sebuah syarikat swasta untuk melangsaikan hutang dengan Yayasan Selangor.

Zul Azhari berkata, beliau menerima surat layang mendakwa syarikat itu mempunyai hutang berjumlah RM233,833 kerana menyewa 4 premis di sebuah bangunan sekitar Selangor.

“Kami dapati ada syarikat yang kami tidak mahu namakan lagi, berhutang dengan Yayasan Selangor sejak 6 tahun lalu.

“Saya hairan kenapa Zuraida mewakili syarikat itu untuk berunding mengenai bayaran RM233,833. Siapakah Zuraida (untuk berbuat demikian)? Adakah dia dapat komisen dalam hal ini?” soalnya tanpa memberi butiran syarikat yang didakwa berhutang dengan Yayasan Selangor.

Zul Azhari berkata demikian selepas menyerahkan salinan surat terbuka menyokong Yayasan Selangor kepada Pengurus Bahagian Korporatnya, Zaini Sulaiman di lobi bangunan itu.

Beliau kesal dengan tindakan Zuraida kerana dana Yayasan Selangor tidak sepatutnya diseleweng memandangkan ia adalah dana rakyat Selangor.

“Saya mohon NGO di Selangor bersama kami melihat kalau ada apa-apa yang kita nak bongkar sejak Datuk Seri Azmin Ali memerintah serta melihat kelemahan kerajaan PKR ini,” katanya.

Pendedahan itu ialah lanjutan gesaan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2013 yang mengarahkan tindakan undang-undang diambil terhadap isu hutang tersebut.

FMT cuba menghubungi Zuraida berhubung dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.