Mengapa misi MA63 ke London penting buat Sarawak

Mengapa misi MA63 ke London penting buat Sarawak

Aktivis Perjanjian Malaysia 1963 membidas Salahuddin Ayub dari Amanah kerana mencadangkan langkah kerajaan negeri menghantar pasukan undang-undang ke London boleh mengundang campurtangan asing.

zainal-ma63
PETALING JAYA:
Seorang aktivis Perjanjian Malaysia 1963 berkata pemimpin Amanah Salahuddin Ayub “tidak mengerti”, kerana mengatakan langkah kerajaan Sarawak menghantar pasukan undang-undang ke London berkenaan MA63 boleh mengundang campurtangan asing.

Zainnal Ajamain, yang menulis mengenai MA63 dalam bukunya “The Queen’s Obligation”, berkata malangnya pemimpin pembangkang di Malaysia Barat tidak “berpengetahuan” mengenai perjanjian yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

“MA63 ditandatangani 5 pihak, United Kingdom, Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Jelas sekali Salahuddin tidak tahu perkara itu.

“Jadi bagaimana ia boleh dianggap campurtangan asing jika UK menandatangani perjanjian itu? Bukannya kerajaan Sarawak menggesa China atau Amerika Syarikat membantu Sarawak mendapatkan haknya.”

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg mengumumkan pasukan undang-undang diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali akan ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berkaitan hak Sarawak di bawah MA63.

Mengulas isu itu, Salahuddin, bekas ahli Parlimen Kubang Kerian, menyuarakan kebimbangan langkah itu boleh mengundang campurtangan asing dan menjejaskan hubungan antara Sarawak dan Putrajaya.

Zainnal berkata Sarawak wajar ke London untuk mengkaji dokumen berkaitan MA63 kerana dokumen itu tidak ada di Malaysia.

“Apa yang kita ada di Malaysia adalah 3 daripada 5 salinan asal MA63, sementara 2 salinan lagi ada di UK dan Singapura. Tetapi ada lebih 200,000 dokumen, surat, minit mesyuarat dan telegram berkaitan pembentukan Malaysia.”

Zainnal, yang mengkaji MA63 selama lebih 15 tahun, berkata ada banyak dokumen – ditulis menuju ke MA63 – yang dikelaskan semula pada seawal 1999, dan disimpan di Arkib Negara Britain di Kew, London.

“Satu-satunya cara untuk melihat dokumen itu adalah dengan ke sana. Jadi misi Sarawak ke London ada kewajarannya. Dalam dokumen itu ada maklumat yang memberikan konteks kepada MA63 dan merujuk kepada hak Sabah dan Sarawak.”

Beliau menambah kerajaan Sabah juga wajar mengikut jejak langkah Sarawak dan menghantar pasukan undang-undang ke London.

Menyusuli pengumuman Abang Johari itu, parti pembangkang Parti Warisan Sabah (Warisaan) menyeru kerajaan Sabah berganding dengan Sarawak dengan menghantar pasukan undang-undang tersendiri ke London.

Dapatan misi Sarawak

Zainnal menjangkakan kerajaan Sarawak akan mengemukakan kertas mengenai MA63 sekembalinya pasukan undang-undang dari UK.

“Matlamat akhir mesti saranan dari kerajaan Sarawak tentang hak negeri dan ia perlu konsisten dengan usaha bekas ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.”

Beliau berkata Adenan, yang meninggal dunia pada Januari, menetapkan nada untuk negeri itu mendapatkan haknya di bawah MA63 malah mengenal pasti isu yang memungkiri hak negeri Malaysia Timur di bawah MA63, terutamanya Akta Laut Wilayah 2012 (TSA).

Di Sabah dan Sarawak, TSA dikritik sebagai tidak berperlembagaan kerana mengehadkan bidang kuasa kedua-dua negeri itu kepada 3 batu nautika dari garis air surut, lantas mengehadkan 2 negeri itu dari memiliki kuasa penuh ke atas sumber asli di luar lingkungan itu.

“Jadi saranan kerajaan Sarawak tidak boleh kurang daripada itu. Ia perlu membuat saranan mengenai hak yang mesti diserahkan semula kepada negeri secara jelas dan membetulkan sebarang ketidakadilan,” kata Zainnal.

Dalam tempoh singkat mentadbir Sarawak, Adenan menggesa Putrajaya memulangkan hak milik negrei itu melalui siri rundingan. Usaha mendapatkan semula hak negeri memenangi hati ramai rakyat Sarawak malah mendapat pujian dari pembangkang.

Berkenaan “ketidakadilan” itu, Zainnal berkata ia termasuk “menurunkan” taraf Sabah dan Sarawak sebagai anggota persekutuan kepada negeri melalui pindaan di Parlimen pada 1976.

Beliau menjelaskan pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menyaksikan 2 negeri Malaysia Timur itu dimasukkan dalam senarai “negeri” Persekutuan Malaysia, lantas menurunkan taraf mereka.

Tetapi Zainnal berhujah Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk melakukan perkara itu tanpa persetujuan kerajaan Sabah dan Sarawak yang menandatangani MA63.

Zainnal berkata tahun lepas, Adenan mendedahkan fasa kedua rundingan mengenai menurunkan kuasa kepada Sarawak melibatkan undang-undang yang melanggar hak negeri di bawah Perlembagaan.

“Dalam erti kata lain, fasa kedua rundingan ialah menyelaraskan Perlembagaan Persekutuan dan MA63, yang bererti TSA dibawah fasa kedua itu.”

Pada Disember, ia dilaporkan fasa kedua penurunan kuasa sedang berjalan.

“Selepas misi ke London, Sarawak menyeru Putrajaya supaya mengubah isu itu. Ini antara isu yang perlu didesak kerana ia akan menjelaskan apa hak Sabah dan Sarawak.”

Amanah: Misi Sarawak ke UK undang campur tangan asing

Hantar misi ke UK, Johari teruskan usaha Adenan pertahan hak Sarawak

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.