
Menurut ibu saudara mangsa, Doria Agang, 50, keluarganya kekurangan RM40 untuk menyelamatkan Monica Mazlan, 6, dan adiknya yang berusia 4 tahun, Jackson.
“Sepupu saya ialah suri rumah dan suaminya pekerja rencam. Dengan 6 anak berusia 2 hingga 12 tahun, mereka kadangkala menghadapi kekangan kewangan.
“Dua kanak-kanak itu digigit (anjing) sekitar April,” katanya kepada Borneo Post di rumah mangsa di Kampung Paun Rimu Bakung, Serian, semalam.
Dua kanak-kanak itu tidak mendapat rawatan segera kerana keluarga mereka mempunyai masalah kewangan dan mereka hanya mula berkelakuan pelik selepas sambutan Gawai Dayak.
Doria berkata, 2 mangsa itu dihantar ke Klinik Kesihatan Balai Ringin untuk dirawat, tetapi keadaan mereka bertambah teruk pada 24 Jun lalu apabila Monica tiba-tiba sakit teruk dan dimasukkan ke Hospital Serian bersama adiknya.
“Monica yang biasanya agak pemalu dan pendiam, tiba-tiba menjadi sangat peka dan becok,” katanya sambil menambah kanak-kanak itu juga tiba-tiba fasih berbahasa Malaysia.
“Bagi Jackson pula, dia tidak sihat selepas perayaan Gawai Dayak dan sentiasa semput,” katanya.
Doria berkata, kedua-dua kanak-kanak itu dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak apabila keadaan mereka semakin teruk.
Kedua-duanya yang disahkan dijangkiti rabies, kekal dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak dan meninggal dunia semalam.