UM anjur tribunal kekejaman terhadap Rohingya

UM anjur tribunal kekejaman terhadap Rohingya

Pengerusi jawatankuasa pengelola Dr Chandra Muzaffar berkata saksi akan dipanggil memberi keterangan di tribunal itu.

Chandra-Muzaffar-rohingya
PETALING JAYA: Tribunal untuk membongkar dakwaan pelakukan jenayah terhadap Rohingya dan kumpulan etnik lain oleh kerajaan Myanmar akan dianjurkan di Universiti Malaya September ini.

Pengerusi jawatankuasa pengelola Tribunal untuk Rohingya, Kachin dan etnik minoriti lain, Dr Chandra Muzaffar berkata tribunal itu mahu membongkar dakwaan layanan tidak berperikemanusiaan dan mendesak jenayah dihentikan.

“Prosesnya seperti pendengaran, dengan kumpulan etnik Myanmar memberi keterangan di hadapan sebuah juri.

“Dari situ, tribunal akan membuat kesimpulan berdasarkan keterangan lisan mengenai kekejaman dan menyerahkan dapatan kami kepada misi pencarian fakta PBB yang ditugaskan untuk menghantar pegawainya ke Yangon,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau menambah kerajaan Myanmar yang dipimpin penerima Anugerah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi, secara terbuka menolak permohonan PBB untuk memasuki negara itu.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin dan Setiausaha Forum Antarabangsa Hubungan Buddha-Muslim (BMF) KV Soon.

Chandra berkata tribunal seperti itu diadakan di London pada 6 dan 7 Mac, yang mengesyorkan PBB dan Asean perlu mengambil tindakan pantas terhadpa Myanmar bagi menghentikan jenayah terhadap kumpulan minoriti.

“Tribunal Kuala Lumpur merupakan kesinambungan dari tribunal London, dengan penyertaan lebih ramai saksi kali ini.

“Kami berharap membentangkan dapatan kami kepada orang ramai dan menggesa kerajaan Asean, termasuk Myanmar, untuk menghentikan penghapusan bangsa,” katanya.

Aktivis itu bagaimanapun mengeluh dapatan mereka tidak sah di sisi undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan.

“Ia tidak sah di sisi undang-undang tetapi saya percaya seperti mana tribunal lain, seperti Tribunal Rakyat Tentang Iraq pada 2005, ia mampu memujuk.

“Kami harap dapat menggunakan ia untuk memujuk rakyat supaya bangun dan bersuara terhadap kerajaan tentera di sana,” kata Chandra.

Azril menambah dapatan tribunal sukar dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk dibicarakan.

“Pertama sekali, Malaysia dan Myanmar bukan penandatangan Statut Rom. Di rantau ini hanya Filipina dan Kemboja yang menandatangan statut itu,” katanya.

Tribunal akan diadakan pada 18-22 September di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Lebih 300 etnik Rohingya, Kachin dan kumpulan lain, yang menjadi pelarian di negara ini dijangka tampil memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.