
Eddie hari mendedahkan kompilasi angka berdasarkan kajian peribadi yang menunjukkan kastam berhutang lebih RM36 juta kerana ia belum membayar balik cukai yang dibajar sejak Jun 2016.
Eddie berkata apabila cukai barangan dan perkhidmatan dilaksanakan sejak April 2015, kastam tiada masalah untuk membuat pembayaran balik kepada 12 PBT itu.
Bagaimanapun, selepas Jun 2016, kastam gagal membuat pembayaran balik itu seperti yang dijamin dalam dasarnya.
Menurut angka yang diberikan kepada Eddie oleh setiap PBT di Selangor, kastam berhutang lebih RM5.9 juta dengan Shah Alam, diikuti Klang (RM5.6 juta), Kajang (RM5.1 juta), Ampang Jaya (RM5 juta), Selayang (RM4.1 juta) dan Petaling Jaya (RM3.2 juta).
Kastam juga berhutang RM2.7 juta dengan Subang Jaya, Sepang RM2.1 juta, Hulu Selangor lebih RM700,000, Kuala Langat lebih RM600,000, Sabak Bernam RM400,000 dan Kuala Selangor hampir RM200,000.
Selepas beberapa perbincangan dengan kastam, Eddie mendakwa pegawai berbeza memberikan penjelasan berbeza.
“Pegawai kastam yang berbeza memberikan tafsiran berbeza mengenai mengapa pembayaran balik tidak dibayar kepada PBT,” katanya pada sidang media hari ini.
“Antara alasan diberikan PBT tidak ada laporan input dan output cukai.”
Beliau menuntut kerajaan persekutuan menjelaskan mengapa kastam gagal membuat pembayaran balik GST, dan bertanyakan adakah kerana kerajaan persekutuan tidak mempunyai wang mencukupi.
“Adakah kerajaan terlalu miskin untuk membuat pembayaran balik yang dijanjikan?”
Walaupun PBT dikecualikan dari GST seperti yang dinyatakan dalam undang-undang, Eddie berkata PBT masih membayar cukai itu dan memohon pembayaran balik yang akan disediakan selepas setiap 3 bulan.
Menurut Perkara 64 panduan GST, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dianggap bukan pemohon, membolehkan mereka dikecualikan dari cukai.
Eddie berkata kastam perlu menyediakan surat pengecualian cukai kepada PBT bagi mengelakkan kesulitan seperti itu.
Beliau merujuk pakar percukaian yang berkata kerajaan tiada masalah untuk memberikan GST berkadar sifar kepada PBT kerana mereka dikecualikan dari cukai.
Beliau khuatir isu itu berlaku bukan sahaja di Selangor tetapi di negeri lain juga.
FMT sedang mendapatkan respon dari kastam.