
“Tindakan ketua menteri Sarawak ingin menghantar pasukan peguam dan seorang exco menyemak dan mendapat maklumat mengenai Perjanjian Malaysia sebagai usaha meneruskan perjuangan Tan Seri Adenan Satem.
“Ini bukan perkara yang baik, saya cukup bimbang langkah seperti ini akan mengundang campur tangan asing.
“Kenapa selepas puluhan tahun mereka (Sarawak) ambil sikap begini? Adakah ia tamparan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada masa ini,” soal Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pada sidang media di ibu pejabat Amanah hari ini.
Sabtu lalu, Sarawak mengumumkan penghantaran sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung MA1963 bagi menentukan hak sebenar negeri berkenaan yang termaktub di bawah perjanjian itu.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg dilaporkan berkata, pasukan peguam itu akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila dan berapa lama pasukan itu berada di London.
Mengulas lanjut, Salahuddin bimbang tindakan kerajaan negeri itu boleh mengeruhkan hubungan Sarawak dan Kuala Lumpur.
“Isu anti-Semenanjung memang begitu hebat dalam kempen pilihan raya semasa (Adenan) masih hidup dan kempen ini dilihat berjaya.
“Kalau perkara ini dibawa pembangkang, sudah tentu kita akan dikenakan pelbagai akta, tetapi ini dibawa kerajaan negeri sendiri.
“Kita (Amanah) tidak mahu isu anti-Semenanjung ini terus menular kerana ia sudah berapi. Kita harap kerajaan akan menunaikan hak Sarawak dan Sabah sewajarnya,” katanya.
Hantar misi ke UK, Johari teruskan usaha Adenan pertahan hak Sarawak