
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelonggaran itu merangkumi graduan perubatan luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Melayu di universiti dan beberapa kategori lain.
“Kelonggaran ini bukanlah perkara baharu, malahan lantikan kontrak bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan bukan warganegara juga tidak memerlukan kelulusan BM di peringkat SPM,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, Seksyen 13 (2) Akta Perubatan 1971 memperuntukkan graduan perubatan yang diberi pendaftaran sementara oleh Majlis Perubatan Malaysia wajib menjalani dan melengkapkan latihan siswazah dengan kompeten sebelum diberi pendaftaran penuh sebagai pegawai perubatan bertauliah.
Katanya, Seksyen 40 akta sama turut menetapkan pegawai perubatan perlu menjalani khidmat wajib dalam sektor awam setelah diberi pendaftaran penuh.
“Susulan pengumuman Bajet 2017 pada Oktober 2016, graduan perubatan kini dilantik secara kontrak sebagai pegawai perubatan UD41 untuk menjalani latihan siswazah selama 2 tahun dan khidmat wajib selama 2 tahun.
“Sekiranya seorang graduan perubatan tidak dapat menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib, graduan perubatan tersebut tidak dibenarkan sama sekali menjadi doktor perubatan di Malaysia. KKM prihatin ini tentu akan menjejaskan masa depan mereka setelah berusaha sedaya upaya menjalani jurusan perubatan di universiti,” katanya.
Oleh itu, kelonggaran syarat kelayakan lulus BM di peringkat SPM untuk pelantikan kontrak pegawai perubatan gred UD41 ini akan membantu melancarkan lantikan kontrak bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap maklum balas beberapa pihak mengenai kenyataan KKM sebelum ini berhubung keputusan kementerian melonggarkan syarat kelayakan lulus BM di peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak jawatan pegawai perubatan gred UD41.
Ada yang bimbang bahasa kebangsaan kian dipandang remeh dan bakal menimbulkan masalah komunikasi antara pagawai perubatan dan pesakit kelak.
Katanya, sebelum ini, kelonggaran pernah diberikan kepada lantikan tetap pegawai prubatan ke perkhidmatan awam, memandangkan pada masa itu terdapat kekurangan serius bagi bilangan pegawai perubatan untuk menampung keperluan perkhidmatan yang kritikal.
Namun katanya, sejak awal tahun ini, kelonggaran itu diketatkan semula bagi lantikan tetap pegawai perubatan KKM dan calon perlu lulus BM di peringkat SPM.
“Justeru, katanya keputusan itu selaras kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan memartabatkan bahasa rasmi persekutuan ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” katanya.
KP Kesihatan: Lulus BM keperluan asas lantikan tetap sektor awam
Graduan perubatan terkejut arahan ‘kembali ke sekolah’, lulus BM