Edra Power disenarai November, sasar kumpul lebih RM5 bilion

Edra Power disenarai November, sasar kumpul lebih RM5 bilion

Para penganalisis berkata “Edra adalah suatu yang baik kepada pemulihan ekonomi Malaysia” kerana cadangan penyenaraian itu dibuat dalam keadaan petunjuk ekonomi positif.

edra-power-plant
KUALA LUMPUR: Penjana kuasa bebas (IPP), Edra Power Holdings Sdn Bhd, dijangka disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada November tahun ini.

Sumber industri pasaran modal berkata syarikat itu yang merupakan IPP kedua terbesar di Malaysia dan syarikat tenaga nuklear utama di dunia, dijangka mengumpul lebih daripada RM5 bilion daripada penyenaraiannya.

Para penganalisis berkata “Edra adalah suatu yang baik kepada pemulihan ekonomi Malaysia” kerana cadangan penyenaraian itu dibuat dalam keadaan petunjuk ekonomi positif termasuk pertumbuhan dan eksport yang kukuh dan peningkatan ringgit.

Apa yang paling menonjol ialah semakan pertumbuhan ekonomi 2017 negara oleh Bank Dunia kepada 4.9 peratus daripada 4.4 peratus sebelumnya, lebih tinggi berbanding unjuran kerajaan sendiri susulan prestasi suku pertama yang amat memberangsangkan.

Turut menyumbang kepada sentimen positif itu ialah ringgit, yang disebut-sebut sebagai mata wang paling kukuh di Asia.

Ini disebabkan oleh aliran masuk kukuh dana asing ke pasaran saham, yang mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 2 tahun, ditutup melebihi paras 1,787 mata pada awal Jun, dan disokong oleh pendapatan korporat yang positif.

Dalam keadaan itu, penganalisis berpendapat kenaikan di Bursa Malaysia akan memberi prospek baik bagi harga penyenaraian Edra, yang walaupun tidak ditetapkan, akan menjadikan tawaran awam permulaan (IPO) rancak semula.

Ini memandangkan Edra dijangka menjadi IPO “blokbuster” dengan pengurus dana utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, Tabung Haji dan Khazanah Nasional Bhd kini ‘semakin aktif” memandangkan peningkatan permintaan terhadap penyenaraian baharu.

“Ia akan menjadi penyenaraian yang menjadi tumpuan yang juga akan menarik pelabur runcit untuk terlibat sebagai pemegang saham dalam syarikat itu,” kata seorang penganalisis.

Beliau berkata, China General Nuclear Power Corp (CGN), yang memiliki sepenuhnya Edra, mungkin akan melepaskan kira-kira 35-40 peratus sahamnya dalam pasaran sebagai sebahagian daripada langkah penyenaraian itu.

“Mereka merancang memulangkan pemilikan syarikat itu kepada orang Malaysia yang mana ia merupakan 1 evolusi semula jadi dalam pasaran modal,” kata penganalisis itu.

Ia akan menguntungkan pelabur Malaysia kerana sebagai sebuah syarikat terkemuka antarabangsa dalam tenaga bersih, Edra mempunyai banyak jaringan dengan syarikat utiliti tempatan dan antarabangsa, katanya.

Sebagai sebuah syarikat tenaga nuklear global ia memiliki pelaburan lebih daripada 25 gigawatt dalam projek tenaga bersih dan boleh baharu.

Projek-projek tersebut termasuklah projek dikuasakan tenaga angin, solar, hidro, gas, arang batu dan bahan api sel di China, Korea Selatan, Singapura, United Kingdom, Perancis dan Australia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.