MEF: Bayaran RM600 antara punca ‘bantut’ majikan daftar PATI

MEF: Bayaran RM600 antara punca ‘bantut’ majikan daftar PATI

Shamsuddin Bardan berkata, majikan tidak berminat mendaftarkan PATI kerana mereka tidak tahu sama ada boleh mengambil PATI itu bekerja semula.

Shamsuddin-Bardan-e-card
PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, tindakan mengenakan bayaran kira-kira RM600 untuk permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) antara faktor “membantut” majikan mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, tiada bayaran dikenakan pada permulaan pelaksanaan sistem pendaftaran E-Kad, sebelum kerajaan mengenakan bayaran itu kepada majikan di peringkat pertengahan.

“Bila majikan diminta untuk membayar separuh harga proses berkenaan, majikan tidak berminat kerana mereka tak tahu pun sama ada pekerja yang mereka daftarkan itu boleh diambil bekerja semula,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan ketua pengarah Imigresen yang kedegilan majikan memohon E-Kad sebagai punca jabatan itu gagal mencapai matlamat disasarkan.

Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hanya 23% atau 161,056 PATI didaftarkan sehingga 10 malam Jumaat, iaitu 2 jam sebelum tempoh akhir pendaftaran tamat pada 12 tengah malam.

Katanya, ia melibatkan 28,375 majikan dengan 145,571 E-Kad dikeluarkan, jumlah jauh lebih rendah daripada sasaran asal 600,000 PATI.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, faktor lain ialah E-Kad sama dengan sistem yang dilaksanakan Jabatan Imigresen sebelum ini.

“Dan kita tahu bila ada sistem sedemikian, tidak ramai majikan yang berminat mendaftarkan PATI mereka.

“Kerana apa yang diminta pihak kerajaan supaya majikan itu datang ke kaunter imigresen dan mengaku mereka mengambil PATI.”

Beliau berkata, pihaknya pernah mencadangkan PATI sendiri yang mendaftar dengan Jabatan Imigresen, bukannya majikan.

“Supaya nanti bila PATI itu didaftarkan, majikan boleh memohon mengambil pekerja berkenaan, tetapi sistem sebaliknya digunakan,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Mustafar mengumumkan pelaksanaan permohonan E-Kad yang berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah mulai 15 Februari sehingga semalam, di semua pejabat imigresen di Semenanjung Malaysia.

Program itu terbuka hanya kepada PATI di Semenanjung dan mereka yang mempunyai majikan tergolong dalam 5 sektor iaitu pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian.

Imigresen tidak menggunakan perkhidmatan orang tengah atau ejen dalam permohonan E-kad, sebaliknya majikan dan PATI perlu hadir ke pejabat imigresen bersama dokumen diperlukan serta kad berkenaan adalah percuma.

Proses sahkan PATI gagal kerana majikan ‘degil’, kata Imigresen

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.