Imigresen hadapi kekangan buka pintu sempadan 24 jam

Imigresen hadapi kekangan buka pintu sempadan 24 jam

Fasa pertama pembukaan pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam selama 24 jam bermula 3 September ini dan Thailand pula bersetuju melanjutkan tempoh operasi pintu sempadan daripada 18 jam kepada 20 jam.

mustafar-ali-immigrsen1
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen mengakui wujud kekangan tertentu untuk membuka pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah selama 24 jam berbanding 18 jam ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali bagaimanapun berkata, pihaknya akan sedaya upaya mengawal keselamatan di pintu sempadan negara dengan prasarana dan jumlah pegawai sedia ada.

“Yang pasti, apabila dibuka 24 jam pegawai imigresen akan bersiap sedia. Kita akan adakan secara berperingkat, pada awalnya sehingga jam 2 pagi, (kemudian) barulah ke arah 24 jam.

“Memang kita terpaksa wujudkan giliran tertentu, sesetengahnya sehingga 50 orang untuk 1 syif. Ketika ini, kita ada 3 syif, kita terpaksa sediakan 4 lagi syif,” katanya pada sidang media di Jabatan Imigresen, hari ini.

Ketika ini, pintu sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Pelaksanaan 24 jam itu dipersetujui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang disifatkannya mampu meningkatkan jumlah kemasukan pelancong asing dan memanfaatkan pembangunan sosioekonomi negeri.

Selain itu, ia juga mampu mengurangkan masalah kesesakan trafik di ICQ terutamanya pada waktu puncak.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan operasi 24 jam itu akan bermula 1 Januari 2019.

Fasa pertama akan mula beroperasi 3 September ini dan kerajaan Thailand juga bersetuju melanjutkan tempoh operasi pintu sempadan daripada 18 jam kepada 20 jam, mulai 3 September ini.

Jumlah pengguna kemudahan di ICQ kira-kira 9,000 sehingga 10,000 orang setiap hari dan ia berjumlah 3.5 juta pengguna setahun.

 

https://www.youtube.com/watch?v=Vf5tEOOU0P8&feature=youtu.be

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.