Penerbangan AirAsia: Patut atau tidak berdoa?

Penerbangan AirAsia: Patut atau tidak berdoa?

Beberapa individu terlibat dalam industri penerbangan memberi pandangan berbeza terhadap kenyataan Zaid Ibrahim terhadap permintaan doa juruterbang AirAsia.

pilot_airasia_600
PETALING JAYA:
Seorang juruterbang veteran memihak kepada Datuk Zaid Ibrahim yang dikritik hebat kerana mengeluarkan kenyataan mengenai juruterbang penerbangan AirAsia yang meminta penumpang berdoa supaya pesawat mendarat dengan selamat.

Juruterbang yang mahu dikenali sebagai Adrian memberitahu FMT, kapten AirAsia menjalankan tugas dengan baik dalam meyakinkan penumpang.

Tetapi beliau berkata tidak wajar meminta orang berdoa kerana ini boleh mencetus suasana panik.

“Tidak ada keraguan bahawa juruterbang tersebut melakukan tugas dengan baik mendaratkan pesawat, tetapi saya rasa tidak perlu meminta penumpang berdoa, jadi saya percaya kata-kata Zaid itu betul.”

Pengguna media sosial menghentam kenyataan Zaid mengenai insiden berkaitan penerbangan AirAsia X D7237 yang berlepas dari Perth, Australia Barat, jam 6.50 pagi Ahad lalu. Ia menuju ke Kuala Lumpur tetapi berpatah balik ke Perth sejurus selepas berlepas.

Letupan dilaporkan berlaku pada enjin kiri menyebabkan turbinnya pecah. Pesawat itu kembali ke Perth dan mendarat dengan selamat.

Bagaimanapun, ramai penumpang terkejut apabila kapten kapal menyuruh mereka berdoa supaya pesawat itu mendarat dengan selamat semasa berpatah balik ke Perth.

Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata juruterbang harus memberi harapan kepada penumpang. Beliau juga mengkritik AirAsia dengan mengatakan jika syarikat penerbangan itu memang suka berdoa agar melantik imam atau paderi yang betul menerusi akaun Twitternya.

Tiada sebab mencetus panik

Adrian yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam penerbangan menjelaskan pesawat AirAsia – pesawat Airbus A330 – mampu terbang dengan 1 enjin sebagaimana kebanyakan pesawat komersial lain dapat lakukan.

Ini bermakna walaupun 1 enjin mempunyai masalah dan perlu dimatikan, pesawat itu masih boleh terbang dengan 1 lagi enjin dan mendarat dengan selamat.

“Biasanya, juruterbang akan menjelaskan masalah secara umum dan memberi jaminan kepada penumpang bahawa pesawat boleh mendarat dengan selamat kerana mencetuskan suasana panik hanya membuatkan keadaan menjadi lebih sukar.”

Beliau menambah juruterbang biasanya akan berkata: “Kami mempunyai masalah teknikal dengan salah 1 enjin pesawat. Sebagai langkah berjaga-jaga, kita akan kembali ke lapangan terbang untuk pendaratan cemas. Pesawat ini hanya terbang dengan 1 enjin. Sila ikut arahan krew kabin.”

Beliau berkata turut memaklumkan kepada penumpang anggaran masa pendaratan.

“Kita perlu memaklumkan kepada mereka secara umum mengenai isu itu kerana juruterbang tahu keupayaan pesawat dan kami dilatih menghadapi situasi seperti itu. Jika kita meminta penumpang berdoa, ia akan mencetuskan suasana panik.

“Hanya 1 atau 2 penumpang panik, maka semua orang akan ikut serta panik. Perkara terakhir adalah krew kabin perlu menghadapi 200 orang yang panik. Ia tidak membantu menangani situasi itu.”

Tiada mudarat minta penumpang berdoa

Bagaimanapun, bekas penasihat kepada Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu), Mohd Jabarullah Abdul Kadir tidak bersetuju dengan kenyataan Zaid, mengatakan permintaan juruterbang supaya penumpang berdoa tidak boleh dilihat begitu negatif.

“Sama ada juruterbang meminta penumpang berdoa atau tidak, mereka masih akan berdoa dan pada amnya, mereka akan panik,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak percaya meminta orang berdoa bermakna dia percaya sesuatu yang terburuk akan berlaku, sesetengah penumpang mungkin merasa lebih tenang apabila berdoa.”

Bagi Lancelot Rodrigues, seorang bekas pegawai kanan penerbangan, tidak ada salahnya juruterbang meminta penumpang berdoa.

“Bagi penumpang, ketika pesawat perlu berpatah balik, sesetengah daripada mereka mungkin sudah merasa ada alasan untuk berdoa dan ini perkara biasa.

“Semasa saya melakukan penerbangan, sebelum setiap kali penerbangan, saya akan meminta krew saya berdoa untuk perjalanan yang selamat tanpa mengira kepercayaan yang dimilikinya, jadi saya tidak percaya ia adalah sesuatu di luar kebiasaan.”

Lancelot berkata bagi sesetengah orang, berdoa membuat mereka berasa lebih selamat, jadi permintaan juruterbang supaya mereka berdoa tidak boleh dilihat seolah-olah pesawat itu akan terhempas.

“Saya fikir juruterbang itu hanya berfikir tentang kebimbangan penumpang ketika dia meminta mereka berdoa. Mungkin dia merasakan penumpang akan menangguhkannya, jadi saya fikir ia tiada masalah.”

Laporan hari ini berkata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) akan mengambil masa beberapa bulan untuk mengetahui punca penerbangan AirAsia X terpaksa berpatah balik ke Perth.

AirAsia berkata ia mula menjalankan siasatan bersama pengilang enjin Rolls-Royce. Ia juga bekerjasama dengan penyelidikan ATSB.

Bos AirAsia pertahan juruterbang minta penumpang berdoa semasa kecemasan

Tindakan juruterbang AirAsia terpuji, kata PAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.